THT berjaya menjulang Piala TNB. FOTO FB MHC
THT berjaya menjulang Piala TNB. FOTO FB MHC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: "KPI (Petunjuk Prestasi Utama) pasukan tercapai musim ini," demikian reaksi Pemangku Presiden Persatuan Hoki Negeri Terengganu (PHNT), Mohd Fikri Harun.

Beliau berkata demikian selepas Pasukan Hoki Terengganu (THT) berjaya meraih trofi Piala TNB musim ini selepas menumbangkan musuh tradisi, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Sabtu lalu.

"Kejayaan merangkul gelaran trofi itu begitu bermakna buat pasukan selepas ramai pemerhati ataupun penggiat sukan itu meramalkan THT bakal pulang hampa berdepan skuad UniKL

"Lebih manis kejayaan itu berjaya menebus kekalahan kepada pasukan itu dalam saingan sama musim lalu selain pada peringkat Liga Hoki Malaysia (MHL) musim ini.

"Lagipun sasaran kita musim ini satu trofi kejuaraan dan naib juara, jadi pemain berjaya merealisasikan impian itu selepas muncul juara Piala TNB dan naib juara MHL," katanya.

Pada aksi final di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, THT yang dibimbing bekas jurulatih skuad kebangsaan Singapura K Rajan menang 2-0 melalui penentuan pukulan penalti selepas kedudukan sebenar terikat 4-4.

Mengulas lanjut, beliau berkata skuad THT mampu terus menjadi kuasa hoki negara berdasarkan barisan pemain yang ada dalam pasukan selain komitmen tinggi daripada kerajaan negeri.

"Kita berada di landasan terbaik untuk terus mengungguli liga hoki kerana ramai pemain yang berada dalam pasukan adalah muka baharu yang berbakat dan mereka masih muda," katanya.

Berdasarkan rekod, skuad THT berjaya merangkul gelaran trofi Piala TNB sebanyak enam kali bermula tahun 2014 hingga 2017, 2019 dan 2021 manakala juara liga sebanyak tiga kali.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 April 2021 @ 1:59 PM