TONGGAK THT, Sukri (kanan) masih berminat untuk menyarung jersi skuad itu musim depan. FOTO Ihsan Pasukan Hoki Terengganu
TONGGAK THT, Sukri (kanan) masih berminat untuk menyarung jersi skuad itu musim depan. FOTO Ihsan Pasukan Hoki Terengganu
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Tonggak berpengalaman Pasukan Hoki Terengganu (THT), Mohamad Sukri Abdul Mutalib meletakkan harapan yang tinggi untuk terus berbakti bersama pasukan gergasi Pantai Timur itu musim depan.

Bekas kapten kebangsaan yang sudah membuat 351 penampilan bersama skuad negara berkata, dia belum puas bersama skuad The Turtles itu terutama selepas gagal merangkul kejuaraan treble yang pertama buat pasukan baharunya itu.

Tambah guru hoki di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) berusia 36 tahun itu, jika diberi peluang kedua bersama skuad itu, dia pasti sukar menolak tawaran itu walaupun baharu semusim bersama THT selepas tiga musim berkhidmat dengan pasukan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) sebelum ini.

"Besar harapan agar rezeki saya masih ada lagi bersama THT untuk musim 2023, lebih-lebih lagi hasrat saya untuk membantu skuad ini merangkul kejuaraan treble yang pertama dalam sejarah skuad itu tidak tertunai.

"Bagaimanapun saya tidak terlalu mengharap, sebaliknya menyerahkan keputusan ini kepada pihak pengurusan THT, jika mereka masih mahukan khidmat saya Insya-Allah saya akan pertimbangkan, tapi jika sebaliknya saya mungkin akan beraksi dengan pasukan lain musim depan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada aksi final Piala TNB Khamis lalu, skuad THT kendalian Roslan Jamaluddin gagal mempertahankan trofi itu selepas tumpas 2-3 kepada seteru utamanya, Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil sekali gus menyaksikan impian untuk memburu kejuaraan treble tidak kesampaian selepas memenangi trofi Sumbangsih dan Liga Hoki Malaysia (MHL).

"Sejujurnya saya kecewa dengan kekalahan ini, secara mata kasar mungkin kami tidak mengambil kesempatan dan peluang yang hadir dengan pemain lawan memanfaatkan percubaan terakhir mereka untuk menjaringkan gol kemenangan.

"Saya tidak meletakkan kesalahan ini kepada mana-mana pemain apabila kami kalah kerana semua pemain perlu bertanggungjawab sama ada menang ataupun kalah walaupun kami dibarisi empat pemain kebangsaan berbanding TNB sepuluh pemain kebangsaan, tapi kami masih mampu mengimbangi kekuatan lawan.

"Pujian juga harus diberikan kepada rakan sepasukan kerana sudah cuba sedaya upaya bangkit biarpun pada awalnya ketinggalan 0-2, mungkin bukan rezeki kami kerana lumrah dalam bersukan pasti akan ada satu pemenang.

"Apa-apapun THT tetap pasukan terbaik pada tahun ini kerana berjaya merangkul dua gelaran daripada tiga trofi yang dipertandingkan," katanya yang juga menyerahkan nasibnya dalam skuad Malaysian Tigers kepada ketua jurulatih, Arul Selvaraj.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 April 2022 @ 5:49 PM