PENGENDALI THT, Seo Jongho perlu menanti kedudukannya bersama pasukan itu musim depan. FOTO Ghazali Kori
PENGENDALI THT, Seo Jongho perlu menanti kedudukannya bersama pasukan itu musim depan. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Walaupun berjaya membantu Pasukan Hoki Terengganu (THT) merangkul kejuaraan 'treble' pada musim ini, ianya bukan jaminan buat ketua jurulatihnya, Seo Jongho untuk terus kekal membimbing skuad The Turtles itu pada musim depan.

Perkara itu dimaklumkan Presiden Persatuan Hoki Negeri Terengganu (PHNT), Mohd Fikri Harun yang mahu melakukan perbincangan lebih lanjut selain 'post mortem' terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan berhubung kedudukan jurulatih kelahiran Korea Selatan itu.

"Alhamdulillah kita berjaya menyapu bersih tiga trofi kejuaraan pada musim ini selepas terlepas Piala TNB musim lalu di tangan pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

"Kejayaan menjulang trofi Piala Sumbangsih, Piala Liga dan Piala TNB adalah sesuatu yang luar biasa hasil komitmen semua pemain, jurulatih, pihak pengurusan, penaja, pihak media, peminat setia selain tunjang utama Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dan kerajaan negeri yang bergerak sebagai satu entiti yang hebat.

"Kejayaan ini juga cerminan kerajaan negeri mahu menjadikan Terengganu sebagai kuasa besar hoki dalam negara.

"Bagaimanapun berkenaan jawatan Jongho, kami belum memutuskan lagi kedudukannya sama ada bakal disambung atau sebaliknya kerana kami perlu berbincang lebih mendalam terlebih dahulu selain 'post mortem' yang bakal dilakukan," katanya ketika dihubungi.

Berkenaan dengan bonus yang bakal diberikan kepada pemain selepas berjaya mencapai sasaran, Mohd Fikri belum bersedia untuk mengumumkan lagi kerana masih dalam perbincangan dengan kerajaan negeri.

Sabtu lalu, THT berjaya membalas dendam kekalahan lalu kepada juara bertahan, TNB dalam saingan Piala TNB apabila menumpaskan skuad kendalian Nor Saiful Zaini Nasiruddin itu dengan kemenangan tipis 2-1 hasil jaringan penyerang kebangsaan, Faizal Saari dan pakar pukulan sudut penalti Korea Selatan, Jang Jonghyun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2023 @ 2:10 PM