SKUAD hoki remaja negara ketika menentang Afrika Selatan di India. FOTO MHC
SKUAD hoki remaja negara ketika menentang Afrika Selatan di India. FOTO MHC
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal menetapkan sasaran layak ke final apabila Malaysia menjadi tuan rumah Piala Dunia Remaja pada 2023.

Bagaimanapun, beliau berpuas hati dengan prestasi skuad hoki remaja lelaki negara pada Piala Dunia Remaja di Bhubaneswar, India, baru-baru ini.

Sasaran ditetapkan iaitu ke suku akhir berjaya dicapai dan menamatkan saingan di tempat kelapan daripada 16 pasukan keseluruhan.

Bagaimanapun sasaran itu tidak lagi realistik apabila negara menjadi tuan rumah pada 2023 nanti. Subahan mengingatkan sasaran bagi edisi 2023 adalah mara ke final dan ia perlu direalisasikan kerana Malaysia akan menjadi tuan rumah.

"Untuk 2023 nanti, tiada lagi suku akhir atau sebagainya. Kita perlu layak ke final. Itu saja. Daripada skuad di India ini seramai tujuh pemain akan kekal dan dapat beraksi semula. Perancangan perlu dimulakan lebih awal.

"Program NHDP (Program Pembangunan Hoki Negara) yang diketuai Paul Revington juga sudah mula menyusun perancangan untuk barisan pemain muda ini terutama mendapat pendedahan yang cukup seperti ke Eropah," katanya.

Sementara itu ketua jurulatih skuad kebangsaan, A Arul Selvaraj berkata, beliau sudah mengenal pasti beberapa pemain untuk diserapkan ke dalam skuad senior.

Katanya, mungkin dalam empat atau lima pemain akan dipilih untuk bersama skuad senior, namun mereka tidak akan bersama dalam cabaran ke Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2021 di Dhaka, Bangladesh yang akan bermula dari 14 hingga 22 Disember kerana kesulitan proses kuarantin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Disember 2021 @ 10:51 PM