PRESIDEN Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal meraikankepulangan skuad hoki di KLIA, semalam. FOTO ROHANIS SHUKRI
PRESIDEN Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal meraikankepulangan skuad hoki di KLIA, semalam. FOTO ROHANIS SHUKRI
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Dua gol dalam tempoh kurang seminit di suku ketiga ketika perlawanan akhir Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) mengimbau kembali skrip yang sama ketika final menentang Jepun di final Sukan Asia Palembang-Jakarta 2018.

Cuma lawannya berbeza, kali ini kita berdepan India yang kini bergelar pasukan ketiga terbaik dunia.

Pastinya anak didik A Arulselvaraj sudah mempelajari sesuatu selepas dua pertemuan menentang India dengan dua corak permainan berbeza di pamerkan oleh pasukan Malaysian Tigers.

Tewas 0-5 pada perlawanan peringkat kumpulan, Malaysia bangkit di perlawanan akhir yang mana satu ketika mendahului India 3-1 namun sedikit kealpaan di suku ketiga menyaksikan India bangkit mendapatkan dua gol dalam tempoh kurang dari satu minit untuk menjadikan kedudukan 3-3 yang akhirnya menyaksikan kita tewas 3-4 kepada tuan rumah.

Kapten pasukan Malaysian Tigers, Muhamad Marhan Mohd Jalil mengakui mereka kini sudah belajar sesuatu terutama di ACT kali ini.

Malah Marhan meluahkan keyakinan pemain kini sudah bersedia untuk mengibarkan cabaran di pentas Sukan Asia Hangzhou yang mana misi merangkul emas perlu direalisasikan.

"Satu pencapaian yang baik apabila kita berpeluang berdepan India dua kali di tempat mereka. Ia beri peluang kami menganalisa kelemahan perlawanan pertama dan perbaiki pada perlawanan kedua.

"Perlawanan pertama itu kesilapan kami kerana tak bermain dengan baik, kami berbincang dengan jurulatih dan pemain untuk tunjuk prestasi lebih tinggi dan apa yang perlu dibuat di waktu kecemasan pada perlawanan kedua.

"Perlawanan kedua kami tingkatkan prestasi, tak bagi India masa pegang bola, kelemahan di perlawanan pertama kami perbaiki masa final. Kita dapat bersaing dengan India tapi rezeki tak memihak kepada kita," katanya ketika di temui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam selepas tiba dari Chennai.

Malah Marhan mengakui dia gembira dapat melihat keyakinan tinggi yang dipamerkan di kalangan pemain muda sepanjang ACT berlangsung terutama ketika berdepan India untuk di bawa ke Sukan Asia nanti.

Skuad senior menutup kempen ACT yang berlangsung di Stadium Hoki Mayor Radhakrishnan selaku naib juara selepas tewas kepada India dengan jaringan 3-4.

Begitupun Malaysia mencipta sejarah tersendiri apabila melangkah ke pentas akhir buat kali pertama dalam enam penampilan selepas menduduki tempat ketiga sebanyak lima kali pada edisi 2011, 2012, 2013, 2016 dan 2018.

Kejohanan 2023 turut ditamatkan dengan rekod lima kemenangan, dua tewas selain mencetak 13 gol padang dan 8 gol pukulan sudut penalti.

Sementara itu Marhan mengakui kehadiran dua pakar pukulan sudut penalti dari Australia, Glenn Turner dan Kieran Govers banyak membantu pemain di atas padang terutama di bahagian serangan.

"Kehadiran mereka sangat membantu menerusi gol jaringan padang dan pukulan sudut penalti. Kita tunjukkan kita boleh dapatkan gol dari sudut berbeza," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2023 @ 1:17 PM