SKUAD hoki remaja negara mempamer aksi membanggakan. FOTO FIH
SKUAD hoki remaja negara mempamer aksi membanggakan. FOTO FIH
Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Jangan salahkan pemain atau menyifatkan skuad hoki remaja negara sengaja menamatkan saingan di tempat kelapan pada kempen Piala Dunia Remaja dekat Bhubaneswar, India.

Mereka sudah berjuang berhabis-habisan dan sebenarnya mahukan keputusan lebih baik selain sudahpun mencuba sebaik mungkin, namun keputusan itulah yang harus diterima.

Pengurus skuad hoki remaja negara, I Vikneswaran berkata, dengan persiapan pendek dan hanya menjalani lapan perlawanan persahabatan berbanding skuad dari Eropah mahupun dari Amerika Selatan, pencapaian yang dilakarkan oleh pemain muda negara patut dikagumi.

"Sasaran adalah untuk ke suku akhir dan itu sudah dicapai. Tapi sebenarnya kami mahukan lebih baik dan kita sudahpun mencuba yang terbaik. Ia bukan disengajakan.

"Kita perlu realistik. Inilah pasukan yang paling pendek persediaannya dalam sejarah tapi masih berjaya ke suku akhir. Kita patut bangga dengan pemain.

"Kalau nak dibandingkan dengan pasukan dari Amerika Selatan atau Eropah mereka berlatih sepanjang tahun dan tiada 'lockdown', India pula lebih daripada 20 perlawanan persahabatan bersama skuad senior.

"Kita pula hanya lapan perlawanan ketika di United Kingdom. Berdasarkan pada itu, kita patut kagum dengan barisan pemain," katanya.

Skuad hoki remaja negara menamatkan kempen di Bhubaneswar, India di kedudukan lapan selepas tewas 1-4 di tangan Sepanyol dalam aksi penentuan tempat ketujuh dan kelapan, Ahad lalu.

Sebelum itu, hasrat anak buah Wallace untuk mara ke separuh akhir tidak kesampaian apabila tewas 0-4 di tangan Perancis dalam aksi suku akhir, Rabu lalu.

Prestasi terbaik Malaysia dalam kejohanan itu ialah di tempat ke empat keseluruhan pada 1979, 1982 dan 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 6:47 PM