MEGAT Azrafiq (kiri) dilantik sebagai pengurus pasukan sementara di dalam senarai barisan kejurulatihan. FOTO Ihsan Konfederasi Hoki Malaysia
MEGAT Azrafiq (kiri) dilantik sebagai pengurus pasukan sementara di dalam senarai barisan kejurulatihan. FOTO Ihsan Konfederasi Hoki Malaysia
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) hari ini mengumumkan barisan kejurulatihan yang akan memimpin Pasukan Pembangunan Kebangsaan lelaki dan wanita di Kejohanan Liga Hoki Malaysia (MHL 2022) yang akan berlangsung dari 18 Februari hingga 31 Mac.

Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal mengumumkan Megat Azrafiq Termizi selaku ketua jurulatih Pasukan Pembangunan Kebangsaan lelaki, sementara A Kannagi dilantik selaku ketua jurulatih pasukan wanita.

Bagi Pasukan Pembangunan Kebangsaan lelaki, Datuk Mirnawan Nawawi dilantik sebagai pengurus pasukan sementara di dalam senarai barisan kejurulatihan, Megat Azrafiq akan dibantu oleh tiga penolong jurulatih iaitu Mohd Sufian Mohamad; Baljit Singh Charun Singh dan Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil.

Bagi Pasukan Pembangunan Kebangsaan wanita pula, Kannagi akan dibantu oleh Mohamad Sabri Mohamad selaku penolong jurulatih sementara Siti Rahmah Othman dilantik selaku pengurus pasukan dan akan dibantu oleh penolong pengurus, Wan Mohd Azli Wan Ismail.

Subahan menjelaskan Pasukan Pembangunan Kebangsaan lelaki dan wanita akan dipantau oleh Pengarah Teknikal Pembangunan dan Skuad Projek Khas MHC, Paul Revington.

"Penubuhan Pasukan Pembangunan Kebangsaan lelaki dan wanita sudah lama kami fikirkan terutama bagi pasukan lelaki kerana kami sedang mempersiapkan pasukan menjelang Kejohanan FIH Piala Dunia Remaja 2023 di Kuala Lumpur.

"Ini juga landasan untuk pemain di peringkat akar umbi terutamanya mendapat peluang untuk beraksi di kejohanan yang kompetitif dan pasukan ini akan mempunyai kesinambungan pada tahun hadapan serta berkait rapat dengan skuad remaja negara serta Program Pembangunan Hoki Negara (NHDP).

"Walaupun ada cakap-cakap di luar sana yang menyatakan dengan menghantar pasukan pembangunan mungkin kualiti yang dimiliki tidak berada di tahap tertinggi, tetapi kami lebih berminat untuk memberikan platform terbaik kepada pemain-pemain muda ini bermain dengan pemain terbaik di Malaysia.

"Bagi saingan MHL juga, kami mempunyai perancangan yang cukup besar pada tahun hadapan dan ia adalah perancangan jangka masa panjang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Februari 2022 @ 6:55 PM