SKUAD hoki gagal mengekang kemenangan India pada final Trofi Juara-Juara Asia. FOTO AFP
SKUAD hoki gagal mengekang kemenangan India pada final Trofi Juara-Juara Asia. FOTO AFP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Biarpun gagal untuk muncul juara kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2023 apabila tewas 3-4 kepada tuan rumah, India pada aksi final di Chennai, skuad bimbingan A Arulselvaraj tampaknya sudah belajar sesuatu yang berguna agar perkara yang sama tidak berulang pada temasya Sukan Asia, Hangzhou nanti.

Sukan Asia menjadi fokus utama skuad Malaysian Tigers yang ingin memburu tempat secara automatik ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024 yang mana emas perlu berada dalam genggaman jika ingin merealisasikan perkara itu.

Skrip yang sama ketika final di Sukan Asia Palembang-Jakarta 2018 berulang kali ini ketika Malaysia berdepan dengan India yang mana skuad negara mendahului 3-1 dan hanya dalam tempoh satu minit pada suku ketiga, India berjaya meledak dua gol untuk menjadikan kedudukan 3-3 sama.

Malah bagi Arul sendiri ia satu perkara yang sukar untuk diterima namun menjadi pengajaran yang berguna untuk pemain belajar daripada kesilapan itu.

"Walaupun kita dahului dengan tiga gol berbalas satu, kecundang dengan dua gol pantas India untuk menjadikan kedudukan tiga sama dan ia amat susah untuk diterima.

"Kita ambil ia sebagai pengajaran untuk belajar daripada kesilapan itu kerana motif utama barisan negara ke India adalah tiada kecederaan serius selepas berdepan tujuh perlawanan dalam tempoh 10 hari," katanya.

Tegas Arul, pemain juga kini harus belajar untuk membuat keputusan di saat genting dari dua pertemuan menentang India dan biarpun dinoktahkan dengan kegagalan namun ia sesuatu yang bagus buat pasukan negara mempelajari sesuatu dari pasukan keempat terbaik dunia itu.

Kepantasan India dan corak permainan mereka yang sering berdepan dengan pasukan lebih kuat seperti Belgium, Belanda dan Australia adalah bagus buat skuad negara belajar cara bagaimana mengurangkan kesilapan.

Skuad senior menutup kempen ACT yang berlangsung di Stadium Hoki Mayor Radhakrishnan selaku naib juara.

Begitupun Malaysia mencipta sejarah tersendiri apabila melangkah ke pentas akhir buat kali pertama dalam enam penampilan selepas menduduki tempat ketiga sebanyak lima kali pada edisi 2011, 2012, 2013, 2016 dan 2018.

Kejohanan 2023 turut ditamatkan dengan rekod lima kemenangan, dua tewas selain mencetak 13 gol padang dan lapan gol pukulan sudut penalti.

Kejayaan itu turut menyaksikan ranking negara kini yang dikemaskini oleh Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) melonjak satu anak tangga naik dari kedudukan ke-10 ke kedudukan kesembilan, memintas Korea Selatan.

Ia dilihat sebagai tonik terbaik buat skuad negara sebagai bekalan sebelum ke Hangzhou, September ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2023 @ 1:24 PM