SUBAHAN bersama skuad hoki negara di KLIA petang tadi. FOTO MHC
SUBAHAN bersama skuad hoki negara di KLIA petang tadi. FOTO MHC
Aida Adilah Mat


Sepang: Barisan pemain hoki negara bakal menerima bonus daripada Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) selepas berjaya muncul naib juara di kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di Chennai, India.

Perkara itu diumumkan Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal ketika menyambut kepulangan skuad 20 pemain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) petang tadi.

Subahan berkata, pemberian bonus itu untuk menaikkan semangat pemain dalam usaha mereka memburu emas di temasya Sukan Asia, Hangzhou sekali gus layak ke temasya Olimpik Paris secara merit.

"Saya gembira kerana mereka muncul naib juara dan ia satu hikmah buat pasukan. Bukan tak nak menang tapi jika menang di ACT ini, itu hanyalah gelaran dan dapat mata tapi tak layak ke Olimpik.

"Yang penting sekarang menang di Sukan Asia. Ini hikmah dan saya percaya mereka (pemain) sudah bersedia untuk ke China dan mereka pasti ingin berjumpa sekali lagi dengan India," katanya.

Beliau berkata, apa yang penting ketika ini adalah aksi konsisten barisan pemain Speedy Tigers yang dibimbing Arul Selvaraj dan kini mereka perlu memperkemaskan lagi strategi untuk menewaskan India di Sukan Asia nanti.

"Seperti diketahui, India bukan pasukan calang-calang kerana mereka mampu tewaskan pasukan lebih kuat dan mereka ketika ini berada dalam ranking nombor tiga dunia.

"Jadi, selepas berakhir saingan di ACT ini pemain perlu meletakkan azam tinggi dan bertekad untuk berdepan India sekali lagi di pentas final di Sukan Asia Hangzhou," katanya.

Pada edisi lalu 2018, di Jakarta-Palembang, barisan hoki negara terlepas peluang untuk meraih emas apabila tewas kepada Jepun di pentas final menerusi penentuan penalti shoot out.

Kali ini, skuad negara dilihat berpeluang cerah untuk menebus kehampaan itu apabila diundi dalam Kumpulan B bersama-sama Korea Selatan, China, Oman, Thailand dan Indonesia.

Korea dilihat satu-satunya menjadi halangan buat negara untuk muncul juara kumpulan namun mereka tidak perlu memandang mudah kehadiran China.

Malah Subahan berkata, Pakistan dan Jepun juga antara yang boleh menghampakan skuad negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2023 @ 9:53 PM