SHAHRUN tekad membalas dendam kekalahan kepada UniKL musim lalu. FOTO Ihsan THT
SHAHRUN tekad membalas dendam kekalahan kepada UniKL musim lalu. FOTO Ihsan THT
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kekalahan pada aksi final musim lalu kepada UniKL masih berbekas buat pemain berpengalaman Pasukan Hoki Terengganu (THT), Shahrun Nabil Abdullah yang tekad untuk membalas dendam apabila dua musuh tradisi itu bakal bertembung sekali lagi pada aksi final Piala TNB di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, malam esok.

Pemain kelahiran Kuala Terengganu berusia 36 tahun itu yang sudah sembilan kali menjulang trofi Piala TNB dengan tiga pasukan berbeza juga mahu mengakhiri karier dalam kancah hoki profesional dengan noktah kemenangan sekiranya khidmatnya tidak diperlukan lagi musim depan.

Bagaimanapun bekas kapten kebangsaan yang memulakan kariernya dengan pasukan Sapura pada 2016 selain pernah menjulang sebanyak tujuh kali trofi liga akui pasukan lawan bukan mudah untuk ditundukkan.

"Peluang buat kedua-dua pasukan untuk memburu gelaran juara Piala TNB musim ini adalah seimbang walaupun pada peringkat Liga Hoki Malaysia (MHL), THT tewas 2-4 kepada pasukan itu.

"Namun aksi liga dan Piala TNB adalah berbeza, kami akan memberikan yang terbaik selain tidak akan mengaku kalah sebaliknya akan berjuang-juang habis-habisan untuk membalas dendam atas kekalahan dalam liga, lagipun semua pemain kini berada pada tahap prestasi terbaik selain sudah bersedia untuk aksi final esok.

"Namun sebagai pemain berpengalaman, saya ingatkan diri dan rakan sepasukan agar tidak tertekan sebaliknya terus fokus sepenuhnya dalam aksi penentuan itu kerana menang atau kalah adalah adat perlawanan.

"Tapi setiap pemain yang diturunkan jurulatih, K Rajan perlu bagi yang terbaik bagi memastikan sasaran pihak pengurusan untuk memburu sekurang-kurangnya satu trofi musim ini tercapai selepas terlepas trofi liga, katanya kepada Sukan NSTP hari ini.

Berdasarkan rekod, skuad THT sudah meraih gelaran juara Piala TNB sebanyak lima kali bermula 2014 hingga 2017 selain 2019. Musim lalu skuad THT yang dibimbing bekas jurulatih skuad wanita kebangsaan, Muhammad Dharma Raj Abdullah gagal menambah koleksi kemenangan selepas tewas 1-2 kepada skuad UniKL.

Sementara itu Pemangku Presiden Persatuan Hoki Negeri Terengganu (PHNT) Mohd Fikri Harun meletakkan harapan yang tinggi kepada pemain agar dapat memperagakan aksi cemerlang dalam pertemuan itu.

"Musim lalu kita gagal meraih sebarang trofi, jadi malam esok adalah peluang terbaik buat pemain untuk membuktikan keupayaan masing-masing untuk memburu kejuaraan pertama musim ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 April 2021 @ 2:43 PM