FAIZAL (dua dari kanan) mengakui dia dan rakan sepasukannya kini berada pada prestasi terbaik untuk sekali lagi menundukkan lawan. FOTO Ihsan MHC
FAIZAL (dua dari kanan) mengakui dia dan rakan sepasukannya kini berada pada prestasi terbaik untuk sekali lagi menundukkan lawan. FOTO Ihsan MHC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kapten Pasukan Hoki Terengganu (THT), Faizal Saari mengingatkan rakan sepasukannya tidak mengambil mudah pertemuan dengan Maybank pada aksi separuh akhir kedua Piala TNB di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, petang esok.

Sebaliknya penyerang negara itu menuntut rakan sepasukannya berwaspada dengan taktikal pihak lawan agar tidak terjerat dalam misi melangkah ke pentas final.

"Mengenai strategi bertemu Maybank pada aksi kedua nanti itu rahsia pasukan kami, namun saya percaya taktikal yang bakal disusun ketua jurulatih, K Rajan yang berpengalaman luas dalam kancah hoki pastinya yang terbaik.

"Tapi saya ingatkan diri dan rakan sepasukan berwaspada dengan tentangan dan corak permainan lawan, dalam masa sama perlu beraksi sebagai mana perancangan jurulatih bagi memastikan hasrat untuk mara ke pentas final tercapai.

"Kemenangan pada aksi separuh akhir pertama bukan bekalan selesa buat pasukan kami kerana pastinya lawan sudah menganalisis kelemahan dan kekuatan THT," kata Faizal yang sebelum liga terpalit dengan episod malang selepas dijangkiti wabak pandemik Covid-19 bersama dua lagi rakan sepasukannya, Shello Silverius dan Abdul Khaliq Hamirin.

THT yang muncul naib juara Liga Hoki Malaysia (MHL) musim ini berada di landasan terbaik untuk mara ke pentas akhir selepas melakar kemenangan 2-0 pada aksi separuh akhir pertama Ahad lalu hasil jaringan bekas pemain Tenaga Nasional Berhad (TNB) musim lalu, Shello di samping Fitri Saari.

Musim lalu skuad THT yang dibimbing bekas jurulatih wanita kebangsaan, Muhammad Dharma Raj Abdullah gagal mempertahankan gelaran juara Piala TNB selepas tumpas 1-2 kepada UniKL.

Mengulas lanjut, Faizal berkata, dia dan rakan sepasukannya kini berada pada prestasi terbaik untuk sekali lagi menundukkan lawan yang pasti hadir dengan strategi berbeza.

Faizal yang meledak 14 gol dalam saingan liga musim ini juga akui gembira apabila prestasi pemain muda pasukannya kian meningkat selepas mengharungi saingan liga dan aksi separuh akhir pertama Piala TNB.

"Saya harapkan taktikal kita menjadi selain rakan sepasukan perlu tampil dengan permainan sebenar kerana misi kita adalah untuk memburu kejuaraan trofi itu selepas gagal pada aksi liga dan saingan Piala TNB musim lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mac 2021 @ 12:50 PM