SUKRI (kanan) beraksi pada perlawanan MHL di Stadium Hoki Batu Buruk. FOTO GHAZALI KORI
SUKRI (kanan) beraksi pada perlawanan MHL di Stadium Hoki Batu Buruk. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Walaupun sebelah kaki sudah berada di pentas final Piala TNB, pertahanan Pasukan Hoki Terengganu (THT), Mohamad Sukri Abdul Mutalib enggan mengambil mudah dalam aksi separuh akhir kedua menentang UiTM HA di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, pada malam esok.

Sebaliknya bekas kapten skuad kebangsaan yang sudah membuat 351 penampilan bersama skuad Malaysia mengingatkan dirinya dan rakan sepasukan agar tetap waspada dengan kebangkitan skuad lawan kerana dalam sukan itu pelbagai elemen kejutan boleh terjadi.

Jelas pemain berpengalaman kelahiran Trolak Utara, Perak berusia 37 tahun itu, jika mengambil mudah selain berasa selesa dengan aksi sambil lewa selepas merakam kemenangan pada aksi separuh akhir pertama, padah bakal menanti pasukannya.

Pada aksi separuh akhir pertama berdepan skuad universiti itu di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, malam tadi, skuad bimbingan jurulatih kelahiran Korea Selatan, Seo Jongho tidak berdepan masalah selepas melakar kemenangan 5-1.

Dalam satu lagi aksi separuh akhir pertama, pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sama liat selepas terikat 2-2 dengan pasukan Maybank.

"Kekalkan momentum kemenangan sebagaimana keputusan pada malam tadi sebelum aksi kedua pada malam esok dan seterusnya mara ke pentas final Piala TNB pada Ahad ini.

"Rakan sepasukan juga perlu mengikut percaturan ketua jurulatih kerana misi kami mahu buktikan THT adalah pasukan terbaik dan konsisten melakar kemenangan dan mengekalkan rekod tanpa kalah sebagaimana aksi liga, mentaliti menang juga perlu ada dalam diri setiap pemain.

"Ini kerana misi kami juga mahu menebus kembali kehampaan musim lalu selepas gagal meraih gelaran treble. Secara peribadi saya mahu cipta sejarah bersama THT buat kali pertama selepas melakukannya bersama Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL), pemain lain juga berazam untuk mendapatkan kejuaraan ketiga pada tahun ini.

"Namun pesanan saya buat rakan sepasukan agar tidak mengulangi kelekaan dan berasa selesa dalam setiap, kita perlu kekalkan momentum permainan yang sama walaupun sudah selesa mendahului pihak lawan dan bermain dengan corak THT seperti biasa," katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini skuad THT berjaya mempertahankan gelaran Piala Sumbangsih dan Piala Liga Hoki Malaysia (MHL).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mac 2023 @ 3:16 PM