MARHAN (tengah) tidak mahu kecewa lagi musim ini. -FOTO Arena Hoki Malaysia
MARHAN (tengah) tidak mahu kecewa lagi musim ini. -FOTO Arena Hoki Malaysia
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Bekas kapten pasukan hoki Universiti Kuala Lumpur (UniKL) musim lalu, Muhammad Marhan Mohd Jalil akui begitu kecewa apabila pasukan diwakilinya itu gagal menjulang trofi Piala TNB selepas tumpas kepada seteru utamanya, Pasukan Hoki Terengganu (THT) pada aksi final tahun lalu.

Namun Marhan yang membarisi skuad THT musim ini tidak mahu skrip sama berulang lagi pada aksi final merebut trofi berprestij apabila pasukan baharunya itu bakal berdepan dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, esok.

Malah kapten skuad kebangsaan itu akui dia begitu bersemangat untuk membantu pasukan The Turtles bimbingan Roslan Jamaluddin memburu kemenangan treble yang pertama dalam sejarah THT.

"Pertama sekali saya begitu syukur kerana masih lagi berpeluang untuk beraksi dalam aksi final Piala TNB walaupun dengan kelab yang berbeza berbanding musim lalu.

"Secara peribadi sudah pasti saya menyasarkan untuk membantu THT merangkul kejuaraan treble musim ini selain tidak mahu episod malang gagal memenangi trofi itu ketika mewakili UniKL musim lalu kembali berulang," katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, pemain berusia 32 tahun kelahiran Johor itu bagaimanapun mengingatkan dirinya dan rakan sepasukan agar tidak memandang mudah cabaran TNB walaupun rekod musim ini memihak kepada skuadnya.

"Aksi final begitu berbeza berbanding liga walaupun dua kali kami berjaya menundukkan TNB, apa yang perlu kami lakukan adalah kerjasama sepasukan, tidak cepat selesa dan mudah mengalah selain setiap peluang terhidang perlu dimanfaatkan dengan jaringan.

"Tapi saya yakin dan percaya dengan prestasi semasa rakan sepasukan di tambah pemain berkualiti dan berpengalaman yang dimiliki THT, kami mampu menjulang trofi itu walaupun sedar skuad lawan pasti mahu bangkit daripada dua kekalahan lalu," kata Marhan.

Selain Marhan, THT memiliki ramai lagi pemain berpengalaman dan tenaga baharu termasuk Sukri Abdul Mutalib, Hafizuddin Othman, Akhimullah Anuar Esook, Syarman Mat Tee dan pemain adik-beradik, Faizal dan Fitri Saari.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2022 @ 1:19 PM