Marhan (kiri) dan Faizal bersama trofi Piala TNB 2021. FOTO Ihsan MHC
Marhan (kiri) dan Faizal bersama trofi Piala TNB 2021. FOTO Ihsan MHC
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Semangat satu keluarga Universiti Kuala Lumpur (UniKL) akan menjadi kunci untuk berdepan aura positif yang diterapkan Terengganu Hockey Team (THT) menjelang perlawanan akhir Piala TNB 2021 esok.

Saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) semakin hampir untuk melabuhkan tirai musim ini, namun debaran untuk melihat siapa bakal juara sangat dirasai tatkala kedua-dua pasukan berpeluang merebut trofi berprestij dalam sukan hoki negara.

Ketua pasukan UniKL, Marhan Jalil mengakui bahawa setakat ini moral rakan-rakannya berada dalam keadaan baik untuk mengulangi pencapaian treble musim lalu dan halangan terakhir mereka adalah THT yang juga tidak kurang hebatnya dengan campuran pemain senior serta remaja.

"Saya bangga dengan kewibawaan yang ditunjukkan rakan-rakan apabila mempamerkan prestasi terbaik," katanya dalam sidang media perlawanan akhir Piala TNB hari ini.

Marhan mengakui bahawa antara kunci utama UniKL sentiasa tenang untuk mempamerkan prestasi terbaik sepanjang MHL 2021 ialah mereka bergerak sebagai keluarga.

"Perkara ini akan membuatkan kami tidak tertekan sama seperti yang dilakukan sebelum ini. Kami sentiasa menikmati permainan hoki sebaiknya," kata pemain kebangsaan itu.

Sementara itu, ketua pasukan THT, Faizal Saari berkata, semua yang berada dalam skuad THT sentiasa berada dalam keadaan positif terutama sekali selepas memenangi perlawanan separuh akhir.

"Kami akan cuba sedaya upaya untuk meraih kejuaraan (Piala TNB) tapi bagi saya untuk perlawanan esok siapa yang bijak mengambil peluang akan memperoleh kemenangan.

UniKL adalah pasukan pilihan kerana memiliki pemain kebangsaan seperti Razie (Rahim), Marhan, Sukri (Abd Mutalib) dan Tengku (Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil).

"Kami harus belajar betul-betul dan bekerja keras untuk berdepan mereka. Paling penting apa yang kami terapkan semasa beraksi ialah aura positif. Sentiasa berfikiran positif. Kami perlu memberikan prestasi 100 peratus.

"Saya sebagai ketua pasukan untuk 2021 akan mengambil tugas ini dengan tanggungjawab besar. Saya akan memberikan permainan sebaik mungkin," kata Faizal.

Selain aksi akhir Piala TNB, esok juga bakal berlangsung final Piala Vivian May Soars membabitkan pasukan UniKL Ladies dan PKS Uniten-KPT dan kedua-dua perlawanan berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 April 2021 @ 5:30 PM