SEO Jongho. FOTO Ghazali Kori
SEO Jongho. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Selepas berjaya mengekalkan kejuaraan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2023, Pasukan Hoki Terengganu (THT) kini fokus untuk memburu trofi Piala TNB bagi melengkapkan tiga kejuaraan pada musim ini.

Pengendalinya, Seo Jongho berkata, trofi piala itu menjadi buruan skuadnya selepas terlepas pada 30 saat terakhir pada aksi final musim lalu kepada juara bertahan, Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Jelas bekas pemain import THT itu, beliau tidak rela skuad bimbingannya itu gagal buat kali kedua berturut-turut merebut trofi berprestij dalam sukan hoki itu selepas berjaya merangkul Piala Sumbangsih Februari lalu dan Piala Liga MHL petang semalam.

Tambah jurulatih kelahiran Korea Selatan itu, momentum serta prestasi terbaik yang diperagakan anak buahnya dengan rekod tanpa kalah pada saingan liga musim ini selain ada antara pemain yang mempunyai pengalaman luas dalam saingan hoki antarabangsa bakal menjadi 'senjata' utama pasukannya untuk memburu kejuaraan itu.

"Selepas muncul juara liga pada hari ini (semalam) fokus kami adalah untuk memburu trofi Piala TNB yang gagal dimenangi pada tahun lalu, ini adalah sasaran kami untuk melengkapkan kejuaraan hatrik selepas hanya muncul juara berganda pada musim lalu.

"Dengan majoriti pemain berpengalaman selain pemain muda meningkat naik, kami yakin mampu merampas kejuaraan pada edisi kali ini, di tambah pula momentum pemain berada pada landasan terbaik terutama selepas berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam liga.

"Bertemu UiTM HA nanti pada aksi separuh akhir, kami sudah mengatur strategi lebih-lebih lagi kami sudah bertemu dengan pasukan itu dua kali dalam saingan liga yang berakhir dengan kemenangan," katanya ketika ditemui selepas berakhir perlawanan penentuan juara liga menentang TNB yang memihak kepada THT dengan kemenangan 3-2.

Mengulas perlawanan itu, Jongho menjelaskan anak buahnya terpaksa 'mandi peluh' sebelum bangkit melakar kemenangan selepas dua kali ketinggalan kepada skuad bimbingan Nor Saiful Zaini Nasiruddin itu.

"Bukan perlawanan yang mudah, TNB hadir untuk merakam kemenangan bagi merampas kedudukan teratas liga selain mengintai trofi kejuaraan liga, dua kali kita ketinggalan 1-0 dan 2-1, namun pemain tidak tertekan sebaliknya terus bangkit sebelum melakar kemenangan bermakna itu.

"Tahniah buat pemain yang bekerja keras, kini fokus kami berdepan UiTM HA pada aksi separuh akhir pertama Selasa ini dalam misi mara ke final dan seterusnya memburu trofi ketiga pada musim ini," katanya.

Sementara itu Nor Saiful Zaini akui terlalu banyak kesilapan yang dilakukan anak buahnya menyebabkan impian untuk merangkul kejuaraan pertama pada musim ini berkecai walaupun dua kali mendahului lawan.

"Pemain kita terlalu berhati-hati bermain, bukan kita tidak boleh beraksi, tapi mereka banyak melakukan kesilapan selain tidak bertahan dengan baik serta menunggu di bahagian tengah.

"Kita juga terlalu banyak bagi pukulan sudut penalti kepada lawan iaitu sebanyak 13 kali, tambah parah skuad itu ada pakar pukulan sudut penalti dari Korea Selatan, Jonghyun, kita tidak bermain baik hari ini dalam aspek bertahan dan menyerang," jelas bekas pemain kebangsaan itu ketika ditemui petang semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mac 2023 @ 12:37 PM