Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Hulu Selangor: DAP mengumumkan menerima keahlian baru apabila 50 orang belia Melayu menyertai parti itu dan seterusnya menubuhkan cawangan DAP Melayu ketiga di Parlimen Hulu Selangor dikenali sebagai Jalan Kemboja.

Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok berkata, penerimaan keahlian dan penubuhan cawangan baru itu bukan merupakan gimik politik dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.

Ahli Parlimen Seputeh itu juga melahirkan rasa gembiranya kerana penyertaan golongan muda ke parti itu.

"Saya mengalu-alukan mereka menyertai DAP dan memainkan peranan untuk membantu Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan," katanya pada sidang media pengumuman keahlian baru di Pusat Khidmat Kuala Kubu Baharu di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi DAP Selangor, Gobind Singh Deo; Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman; calon Pakatan Harapan (PH) PRK Kuala Kubu Baharu, Pang Sock Tao dan Pengerusi Cawangan DAP Jalan Kemboja, Muhammad Dzulfiqri Md Daud.

Mengulas lanjut, Teresa berkata, penubuhan cawangan DAP Jalan Kemboja itu bertitik tolak kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor tahun lalu.

Menurutnya, ia selepas pihaknya bersama-sama penyandang Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Kubu Baharu, Lee Kee Hiong mengadakan sesi dialog, bengkel politik dan perbincangan mengenai perjuangan DAP di kawasan ini.

Gobind pula menyatakan parti itu terbuka untuk disertai oleh semua pihak dan pihaknya mahu agar semua lapisan masyarakat mendapat peluang menceburkan diri dalam politik.

"Sebagaimana yang dapat dilihat, calon yang kita tonjolkan dalam PRK ini juga daripada golongan wanita dan muda. Ini menunjukkan komitmen kita bagi memastikan semua lapisan masyarakat mengambil bahagian dalam bidang politik negara.

"(Ini) kerana masa depan negara kita adalah hasil usahasama perbincangan dan pertukaran fikiran semua (pihak)," katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Dzulfiqri, 21, pula menyatakan dia menyertai DAP kerana parti itu mengutamakan golongan muda berbanding parti lain.

"Kita cuba nak menyertai parti lain tetapi diabaikan. Tetapi dalam parti DAP, mereka terus sambut kami dengan terbuka.

"Parti DAP juga memberikan peluang kepada golongan muda ruang untuk menyertai program membantu rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 5:36 PM
GOBIND (tengah) bersama Muhammad Dzulfiqri (tiga kanan), Sock Tao (dua kanan), Teresa (tiga kiri) dan Young Syefura (kanan) ketika majlis penyerahan borang penubuhan cawangan DAP Melayu baru kepada pemimpin DAP di Pusat Khidmat Parlimen Kuala Kubu Baharu. FOTO Hairul Anuar Rahim
GOBIND (tengah) bersama Muhammad Dzulfiqri (tiga kanan), Sock Tao (dua kanan), Teresa (tiga kiri) dan Young Syefura (kanan) ketika majlis penyerahan borang penubuhan cawangan DAP Melayu baru kepada pemimpin DAP di Pusat Khidmat Parlimen Kuala Kubu Baharu. FOTO Hairul Anuar Rahim