FAIZAL sembuh sepenuhnya daripada wabak Covid-19 selepas mendapat surat pelepasan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia pagi ini. FOTO MALIK MUHAMAD
FAIZAL sembuh sepenuhnya daripada wabak Covid-19 selepas mendapat surat pelepasan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia pagi ini. FOTO MALIK MUHAMAD
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Berita gembira buat kem Pasukan Hoki Terengganu (THT) sebelum saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) membuka tirainya pada Khamis depan apabila tiga pemainnya yang sebelum ini positif Covid-19 kini sudah sembuh sepenuhnya.

Tiga pemain iaitu penyerang kebangsaan, Faizal Saari, bekas pemain TNB, Shello Silverius dan pemain berbakat, Abdul Khaliq Hamirin sebelum ini terpaksa dikuarantin selepas didapati positif wabak pandemik itu.

Pemangku Presiden Persatuan Hoki Negeri Terengganu (PHNT), Mohd Fikri Harun berkata, tiga pemain itu bakal bersama kem pasukan bermula petang ini sebagai persediaan menjelang MHL nanti.

"Alhamdulillah tiga pemain yang sebelum ini positif Covid-19 kini sudah sembuh sepenuhnya, Faizal dan Abdul Khaliq mendapat surat pelepasan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bebas daripada wabak itu pada jam 9.30 pagi ini manakala Shello pada semalam.

"Tiga pemain itu bakal melengkapkan 21 pemain menjalani latihan pada petang ini di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil termasuk empat kontak rapat Shello iaitu Muhammad Akhimullah Anuar Esook, Syarman Mat Tee, Muhammad Abid Sufian Mat Ruslee dan Muhammad Arif Syafie Ishak.

"Dengan perkembangan terbaharu itu, ini berita gembira buat pasukan bagi membentuk gandingan yang mantap dalam saingan itu kerana kelibat tiga pemain itu ditagih pasukan.

"Kami harapkan barisan kejurulatihan yang diketuai K Rajan dapat membuat perancangan rapi biarpun kejohanan hanya berbaki seminggu lagi sebelum dimulakan," katanya kepada Sukan NSTP ketika dihubungi.

Mengulas aksi persahabatan bertemu UiTM semalam, Mohd Fikri positif skuad THT mampu melangkah lebih jauh selepas merakam kemenangan 3-1 biarpun hanya menyenaraikan 13 pemain.

"Kita akan bertemu Sabah pada aksi pertama 11 Mac ini di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, jadi kemenangan itu mampu menyuntik semangat para pemain lebih-lebih lagi tiga pemain yang sebelum ini positif Covid-19 serta empat rakan serumah Shello bakal kembali menjalani latihan petang ini kerana sasaran kita sekurang-kurangnya satu trofi musim ini," katanya.

Sebelum ini kem pasukan THT resah selepas dikejutkan dengan berita itu ketika semua pasukan disyaratkan berada dalam protokol gelembung sukan bagi mengelak pemain dan pegawai dijangkiti wabak pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mac 2021 @ 3:12 PM