SUKRI bekas kapten skuad kebangsaan.
SUKRI bekas kapten skuad kebangsaan.
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kehadiran bekas tonggak pasukan hoki Universiti Kuala Lumpur (UniKL) musim lalu, Mohamad Sukri Abdul Mutalib diyakini mampu memperkasakan lagi Pasukan Hoki Terengganu (THT) dalam menghadapi saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) yang bakal membuka tirainya pada 18 Februari ini.

Keyakinan itu disuarakan Presiden Persatuan Hoki Negeri Terengganu (PSNT), Mohd Fikri Harun yang melihat kehadiran bekas kapten skuad kebangsaan itu juga bakal menyuntik lagi semangat rakan sepasukannya beraksi dalam kejohanan berprestij dalam negara itu.

Malah beliau juga percaya pemain berpengalaman berusia 36 tahun itu yang mempunyai mentaliti juara mampu membantu pasukan meraih kejuaraan berganda dalam saingan MHL musim ini.

"Pihak pengurusan begitu teruja dengan kesudian Sukri menyarung jersi pasukan THT musim ini kerana kami lihat pemain itu mampu memberi impak yang positif kepada pasukan.

"Selain bijak mengawal tempo perlawanan, pemain itu juga boleh membantu dan membimbing hampir 60 peratus pemain muda dalam pasukan."Jadi dengan karakter yang ada pada bekas kapten skuad kebangsaan itu, ia mampu membantu pasukan dan pemain, kami harapkan sentuhannya mampu menjulang THT memburu kejuaraan berganda musim ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, selain bekas kapten skuad kebangsaan itu, THT turut mengikat seorang lagi bekas pemain UniKL iaitu Pavindip Singh serta bekas pemain serba boleh pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB), Muhammad Amirol Aideed Mohd Arshad.

Katanya, THT mengekalkan hampir 80 peratus pemain musim lalu termasuk pemain adik-beradik, Faizal dan Fitri Saari, Muhammad Firdaus Omar, Abdul Khaliq Hamirin, Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran dan Muhammad Sufi Ismat MR Rohulamin.

"Turut membarisi skuad seorang lagi bekas kapten kebangsaan, Mohd Shahrun Nabil Abdullah, Muhammad Abid Sufian Mat Ruslee, Ismail Abu, Nabil Fiqri Mohd Noor dan Muhammad Arif Syafie Ishak.

"Penyerang muda meningkat naik, Mohd Akhimullah Anuar Esook, Shello Silverius, Muhammad Amirul Mirza Rozi, Syarman Mat Tee, Nukman Hakim Mohamad, Muhammad Noor Firdaus Rosdi, Mohamad Hazrul Faiz Ahmad Sobri dan penjaga gol berpengalaman, Muhammad Hafizuddin Othman turut berada dalam senarai 22 pemain," katanya.

Skuad kendalian Roslan Jamaluddin itu bakal bertembung dengan UniKL pada 18 Februari ini bagi perebutan Piala Sumbangsih.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Februari 2022 @ 6:15 PM