FIKRI melihat perkembangan itu secara positif kerana mendapat keputusan awal sekali gus mengelak lebih ramai pemain lain dijangkiti . FOTO Ihsan Mohd Fikri Harun
FIKRI melihat perkembangan itu secara positif kerana mendapat keputusan awal sekali gus mengelak lebih ramai pemain lain dijangkiti . FOTO Ihsan Mohd Fikri Harun
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pihak pengurusan Pasukan Hoki Terengganu (THT) menarik nafas lega apabila baki pemain skuad itu serta pegawai terbabit bebas daripada jangkitan wabak pandemik Covid-19.

Sebelum ini skuad gergasi Pantai Timur itu menerima tamparan hebat apabila tiga pemainnya iaitu penyerang negara, Faizal Saari, bekas pemain Tenaga Nasional (TNB) musim lalu, Shello Silverius dan penyerang muda berbakat, Abdul Khaliq Hamirin disahkan positif wabak itu.

Pemangku Presiden Persatuan Hoki Negeri Terengganu (PHNT), Mohd Fikri Harun berkata, walaupun terkejut menerima perkhabaran itu ketika saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) berbaki kurang dua minggu dilangsungkan, tapi beliau tetap melihat perkembangan itu secara positif kerana mendapat keputusan awal sekali gus mengelak lebih ramai pemain lain dijangkiti.

"Alhamdulillah semua pemain termasuk pegawai sudah membuat ujian calitan Covid-19, hasilnya negatif, hanya tiga pemain berkenaan sahaja disahkan positif dan kini sedang dikuarantinkan.

"Insya-Allah saya yakin dalam masa terdekat tiga pemain itu akan segera sembuh kerana bacaan Covid-19 mereka bukan bacaan yang teruk, mereka berada dalam keadaan baik.

"Namun begitu pihak kami juga tetap menjaga kebajikan tiga pemain itu dengan memberi apa jua bantuan yang boleh dan diperlukan selain tidak memberi sebarang tekanan kepada tiga pemain yang terbabit serta pemain lain.

"Tapi saya mengharapkan semua peminat hoki di seluruh negara termasuk peminat setia THT, mendoakan tiga pemain itu segera sembuh dan dapat kembali menjalani latihan seperti biasa bawah kendalian jurulatih, K Rajan untuk memperkuatkan pasukan dalam MHL musim ini," katanya kepada Sukan NSTP hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, semua pemain bakal kembali menjalani latihan pada hari ini di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil menjelang liga yang bakal bermula pada 11 Mac depan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

"Baki pemain akan meneruskan latihan seperti biasa bermula hari ini di stadium berkenaan, manakala tiga pemain itu akan dipantau secara dalam talian oleh barisan jurulatih kerana mereka begitu bersemangat untuk beraksi.

"Dalam masa sama kita tetap yakin pemain mampu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN), lagipun mereka berada dalam protokol gelembung sukan," katanya.

Sebelum ini THT sudah menjalani latihan bermula 24 Februari lalu di luar stadium sebagai persiapan awal sebelum dibenarkan menjalani latihan di dalam Stadium Nasional Bukit Jalil.

Mohd Fikri berkata, THT yang tidak menghantar penyertaan kategori wanita akan mengadakan Majlis Pelancaran Jersi, Pemain dan Penaja secara dalam talian pada 8 Mac depan yang bakal dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Februari 2021 @ 6:48 PM