PEMAIN Pasukan Hoki Terengganu (THT) yang bakal beraksi dalam saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) Februari depan. FOTO Malik Muhamad
PEMAIN Pasukan Hoki Terengganu (THT) yang bakal beraksi dalam saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) Februari depan. FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pakar pukulan sudut penalti dari Korea Selatan, Jang Jonghyun serta dua rakan senegaranya, Choi Hoil serta Yoo Seung Ho sah menjadi keluarga baharu Pasukan Hoki Terengganu (THT) dalam mengharungi kancah Liga Hoki Malaysia (MHL) musim ini.

Selain itu skuad THT juga turut menyambar jurulatih kelahiran Korea Selatan, Seo Jongho yang akan dibantu jurulatih tempatan, Mohd Harfizi Baharom yang juga bertindak selaku jurulatih penjaga gol.

Manakala bekas pemain berpengalaman THT dan kebangsaan, Mohd Shahrun Nabil Abdullah dan bekas pemain Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT), Siti Rahmah Othman masing-masing dilantik sebagai ketua dan penolong jurulatih skuad TLHT musim ini.

Presiden Persatuan Hoki Negeri Terengganu (PHNT), Mohd Fikri Harun berkata, selain tiga tonggak import itu, THT juga turut 'merantai' kapten skuad kebangsaan Piala Dunia 2023, Muhammad Marhan Mohd Jalil dan tiga lagi pemain skuad Malaysian Tigers iaitu Shello Silverius, Faizal Saari dan penjaga gol, Muhammad Hafizuddin Othman.

Katanya, bekas kapten kebangsaan, Mohamad Sukri Abdul Mutalib, Nabil Fiqri Mohd Noor, Ismail Abu, Fitri Saari dan penyerang muda berbakat negara, Mohamad Akhimullah Anuar Essok turut berada dalam senarai pemain skuad THT musim ini.

"Pengalaman Jonghyun yang juga pemain skuad Piala Dunia Korea Selatan 2023 selain pemain berpengalaman skuad Malaysian Tigers mampu memberi impak yang positif buat pasukan dalam misi untuk menyapu bersih tiga trofi yang dipertandingkan pada musim ini.

"Kehadiran jurulatih berpengalaman luas dari Korea Selatan itu (Jongho) yang pernah beraksi sebagai pemain import THT pada musim 2015 selain pernah mejawat jawatan penolong jurulatih THT pada 2019 juga dilihat mampu memberi aura yang positif buat pasukan.

"Selain itu kelibat ramai pemain muda juga antara aset berharga buat pasukan untuk mengekalkan kejuaraan Piala Sumbangsih, Piala Liga selain Piala TNB yang terlepas pada musim lalu," kata Mohd Fikri ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Jersi dan Memperkenalkan Pemain THT dan TLHT di Hotel Permai, hari ini yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.

Sementara itu Wan Sukairi berkata, kerajaan negeri menyalurkan sumbangan sebanyak RM2.5 juta kepada persatuan hoki bagi pembangunan sukan hoki negeri termasuk pasukan THT dan TLHT.

"Musim lalu kita menyalurkan sumbangan sebanyak RM2 juta, tapi pada musim ini kita menambah sumbangan sebanyak RM500,000 lagi sempena penubuhan Akademi Hoki Terengganu (AHT) dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT)," katanya.

Aksi MHL musim ini bakal membuka tirainya pada 9 Februari depan dengan aksi Piala Sumbangsih antara THT menentang TNB.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 January 2023 @ 7:23 PM