RICHARD juga melihat skuad yang dipanggil kali ini kelihatan seimbang apabila ada gabungan pemain B-23. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
RICHARD juga melihat skuad yang dipanggil kali ini kelihatan seimbang apabila ada gabungan pemain B-23. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Malaysia perlu meneruskan momentum beraksi cemerlang di Piala Asia 2023 di Qatar awal Januari lalu sebagai persediaan menghadapi perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 menentang Oman pada 18 Mac ini.

Pemerhati bola sepak tanah air, Datuk Richard Scully berkata, meskipun Harimau Malaya tidak layak ke pusingan seterusnya, namun aksi yang ditampilkan oleh para pemain terutama perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang Korea Selatan sesuatu yang luar biasa dan disebabkan itu, mereka harus cepat kembali ke kem latihan untuk memperbetulkan sesetengah perkara yang harus dilakukan bagi memastikan prestasi cemerlang itu tidak hilang begitu sahaja.

"Mereka ada momentum yang baik dan statistik juga menunjukkan pasukan kita bermain bagus dari segi memberi tekanan, transisi dan larian walaupun lawan Bahrain kita sudah beri yang terbaik tetapi nasib tidak menyebelahi kita. Perlawanan menentang Jordan memang total lost buat pasukan negara sebelum kita bangkit menentang Korea Selatan.

"Sebab itu pemain tidak boleh berehat lama dan pemain perlu menyertai latihan secepat mungkin untuk mereka membina kembali keserasian itu sekali gus membawa momentum itu menentang Oman," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Selain itu, Richard turut menambah biarpun pasukan Oman dilihat ada sedikit kelebihan kerana liga mereka masih berlangsung sebelum bertemu Malaysia akan tetapi itu bukan alasan untuk skuad kendalian Kim Pan-gon memberikan aksi terbaik nanti.

Tambahnya, untuk mengadakan perlawanan persahabatan pada tempoh ini sedikit sukar kerana ketika ini masih di luar kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa).

"Itu kekangan kita sebab pasukan yang kita mohon sebelum ini pun setuju tiba-tiba tidak setuju. Jadi kita tinggal dengan apa yang ada tapi itu tidak boleh jadikan itu satu masalah, apa yang ada itu kita kena guna sebaik mungkin. Kita kena tengok pada kalendar Fifa juga sebab untuk lawan (pasukan lain) yang bukan dalam kalendar Fifa pun susah tak dapat pasukan," katanya.

Pada masa sama, Richard juga melihat skuad yang dipanggil kali ini kelihatan seimbang apabila ada gabungan pemain bawah 23 tahun (B-23) dan mereka pasti mampu membantu pemain senior meningkatkan lagi prestasi ke tahap terbaik.

Untuk rekod, Malaysia sedang memimpin Kumpulan D selepas mencatat dua kemenangan bersih pada November tahun lepas sekali gus berada di landasan tepat untuk mencatat sejarah baharu dalam arena bola sepak Malaysia layak ke pusingan ketika Piala Dunia 2026 dan layak secara merit dua kali berturut-turut ke Piala Asia 2027.

Terdahulu Arena Metro melaporkan jika mahu lebih selamat, skuad Harimau Malaya tidak mempunyai pilihan lain iaitu mencuri sekurang-kurangnya satu mata dalam dua aksi Kumpulan D kempen kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman.

Nampak mudah namun sebenarnya skuad kendalian Pan-gon berdepan tugas sukar apabila perlu berkunjung ke Muscat, Oman pada 22 Mac ini sebelum melayan kunjungan skuad Red Demons di Kuala Lumpur, empat hari kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2024 @ 9:53 PM