KIM Pan-gon. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
KIM Pan-gon. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Syazwan Msar


Kelana Jaya: Skuad Harimau Malaya tidak mahu terus lesu menjelang aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman pada 22 dan 26 Mac ini apabila akan bertemu Nepal sebagai aksi pemanas badan sebagai persiapan mengharungi perlawanan itu.

Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon berkata, aksi 'sparring'menentang Nepal itu akan berlangsung secara tertutup sebagai usaha menyiapkan skuad yang lebih mantap sebelum berlepas ke Oman.

"Kami akan mengharungi satu aksi persahabatan pada 15 Mac menentang Nepal. Ia perlawanan tertutup sebelum kita terbang ke Oman dan menjadi salah satu perancangan pasukan," katanya, dalam sidang media sebelum sesi pertama kem latihan pusat di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), sebentar tadi.

Skuad kebangsaan boleh dikatakan agak bergelut untuk mengekalkan momentum barisan pemain sebelum menentang Oman dengan kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) kali ini dibuka pada 18 hingga 26 Mac.

Situasi bertambah buruk apabila saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/25 hanya akan bermula pada Mei sekali gus menyaksikan sebahagian besar pemain negara tidak mendapat perlawanan kompetitif selepas kembali dari Piala Asia 2023, Januari lalu.

Skuad negara terlebih dahulu akan menentang Oman di Muscat pada 22 Mac sebelum melayan kunjungan pasukan di ranking 80 dunia itu di Stadium Nasional, Bukit Jalil, empat hari kemudian.

Harimau Malaya ketika ini memimpin saingan Kumpulan D dengan mengumpul enam mata hasil kemenangan ke atas Kyrgyzstan (4-3) dan Taiwan (1-0) dalam dua aksi awal sebelum ini.

Sementara itu, hari pertama sesi latihan skuad Harimau Malaya menyaksikan tidak semua pemain hadir di Wisma FAM.

Namun, Pan-gon berkata, situasi terbabit tidak mengganggu persiapan Harimau Malaya apabila pemain berkenaan akan menyertai latihan secara berperingkat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2024 @ 8:01 PM