PAN-GON (kiri) bersama barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya. FOTO FB FAM
PAN-GON (kiri) bersama barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya. FOTO FB FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya akan terus terluka apabila dikhabarkan barisan kejurulatihan diterajui Kim Pan-gon bersedia meninggalkan pasukan kebangsaan jika khidmat mereka tidak diperlukan lagi pada masa akan datang.

Khabar angin itu bertiup kencang susulan barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya itu sudah menghantar surat kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengenai kesediaan mereka meninggalkan pasukan selepas dua kali tewas kepada Oman dalam kempen Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027, baru-baru ini.

Menurut sumber, pasukan Pan-gon sudah menghantar surat kepada FAM untuk diberikan pampasan sekurang-kurangnya tiga bulan jika badan induk bola sepak negara itu menghentikan khidmat mereka kelak.

"Saya difahamkan barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya termasuk Pan-gon sudah menghantar surat itu, sekali gus bersedia untuk meninggalkan pasukan kebangsaan jika khidmat mereka tidak diperlukan.

"Jika mengikut perkiraan, kontrak mereka sepatutnya berakhir pada tahun depan, namun mereka sudah bersedia meninggalkan pasukan dengan hanya meminta tiga bulan gaji saja," katanya ketika ditemui Arena Metro.

Mengikut rekod, kekalahan berturut-turut kepada Oman memberi tamparan hebat kepada skuad Harimau Malaya untuk layak ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi lebih awal dan mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia kekal di kedudukan ketiga kumpulan dengan mengumpul enam mata manakala Kyrgyzstan yang mengatasi Taiwan 5-1 naik ke tangga teratas dan berkongsi sembilan mata bersama Oman yang menghuni tangga kedua.

Jika benar 'team' Pan-gon meninggalkan skuad kebangsaan, ternyata situasi terbabit akan menyukarkan Malaysia yang akan mengharungi dua lagi perlawanan menentang Kyrgyzstan di Bishkek pada 6 Jun dan menamatkan saingan kumpulan menentang Taiwan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Jun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2024 @ 8:15 PM