PASUKAN negara perlu curi mata berdepan Oman. -FOTO FAM
PASUKAN negara perlu curi mata berdepan Oman. -FOTO FAM
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya harus menggunakan pertukaran jurulatih Oman itu sebagai kelebihan buat pasukan negara untuk mendapatkan mata ketika menentang mereka pada bulan Mac nanti dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027.

Pemerhati bola sepak negara, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, dengan pelantikan jurulatih baharu, Jaroslav Silhavy itu, sudah pasti tidak banyak yang boleh dilakukan oleh dirinya memandangkan masa yang dia ada agak singkat.

"Ini kesempatan terbaik untuk kita (Harimau Malaya) walaupun Oman ada faktor jurulatih dari Eropah yang boleh bagi semangat baru kepada pemain mereka.

"Tapi tempoh yang singkat untuk membentuk pasukan menjadi kekurangan kepada Oman dan kelebihan kepada Malaysia.

"Kesempatan ini kita perlu gunakan sebaik mungkin. Cuma kita tidak boleh terlalu yakin dalam menentang Oman nanti.

"Saya harap pemain membawa semangat ketika kita berhadapan Korea Selatan (di Piala Asia 2023) itu dan bawa momentum itu ke dalam perlawanan menentang Oman nanti," katanya.

Namun begitu, Pekan turut berpendapat, prestasi pasukan Oman yang tidak begitu cemerlang di Piala Asia 2023 sehingga tersingkir dari peringkat kumpulan, tidak boleh menjadi ukuran lagi kerana kehadiran jurulatih baharu itu mungkin boleh mengubah keadaan di kem mereka ketika ini.

Jelasnya, disebabkan itu Harimau Malaya harus waspada dengan pasukan Oman apatah lagi Silhavy mempunyai rekod agak baik sebelum itu termasuk berjaya membawa Republik Czech ke pusingan akhir Euro 2024.

Skuad kendalian Kim Pan-gon akan berkunjung ke Muscat, Oman pada 22 Mac ini sebelum melayan kunjungan skuad Red Demons di Kuala Lumpur, empat hari kemudian.

Ketika ini, Malaysia mendahului Kumpulan D selepas mencatat dua kemenangan sebelum ini ke atas Kyrgyzstan serta Taiwan dan skuad negara berada di landasan terbaik untk melangkah ke pusingan ke tiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan mengesahkan slot di Piala Asia 2027 secara automatik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2024 @ 2:31 PM