KIM Pan-gon.
KIM Pan-gon.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon wajib dikekalkan untuk tempoh sekurang-kurangnya dua tahun demi merealisasikan impian untuk membawa pasukan kebangsaan layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 seterusnya menempah slot Piala Asia 2027.

Bekas pemain bola sepak negara, Datuk Richard Scully berkata, jurulatih berasal dari Korea Selatan itu berjaya mengubah landskap bola sepak tempatan terutamanya mampu meningkatkan kualiti pasukan kebangsaan ke peringkat lebih tinggi.

Beliau berkata, walaupun skuad Harimau Malaya tewas dua dua perlawanan kepada Oman baru-baru ini namun situasi terbabit tidak menggambarkan keseluruhan prestasi beliau sejak mengambil alih pasukan kebangsaan dua tahun lalu.

"Pan-gon perlu terus kekal kerana beliau sudah membawa perubahan besar dalam bola sepak tanah air terutamanya membabitkan skuad kebangsaan.

"Banyak perubahan sudah dilakukan terhadap skuad kebangsaan. Saya berharap dia terus dikekalkan dan tidak diganggu lagi.

"Pasukan kebangsaan ketika ini boleh dikatakan antara yang terbaik pernah ada. Walaupun tewas beberapa perlawanan sejak kebelakangan ini namun skuad kebangsaan masih ada ruang untuk bangkit lagi,"katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu,Pan-gon menyatakan untuk terus kekal bersama skuad kebangsaan sehingga misi utama untuk membawa Malaysia layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan menempah slot Piala Asia 2027 tercapai.

Pan-gon menerusi kenyataan medianya memaklumkan bahawa beliau juga tidak menghantar surat yang mengatakan sedia untuk meninggalkan pasukan negara sekiranya khidmatnya sudah tidak diperlukan.

Jurulatih terbabit menyatakan pendirian itu susulan laporan media bahawa dikhabarkan barisan kejurulatihan yang diterajui beliau sudah bersedia meninggalkan kem pasukan kebangsaan jika khidmat mereka tidak diperlukan lagi pada masa akan datang.

Perkhabaran terbabit bertiup kencang susulan barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya itu sudah menghantar surat kepada FAM yang ditunjukkan kepada wartawan.

Situasi timbul kemungkinan berpunca selepas pasukan kebangsaan tewas kepada Oman dalam kempen kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 baru-baru ini.

Menurut sumber, pasukan Pan-gon sudah menghantar surat kepada FAM untuk diberikan pampasan sekurang-kurangnya tiga bulan jika badan induk bolasepak negara terbabit menghentikan khidmat mereka kelak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2024 @ 2:45 PM