KETUA Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam.
KETUA Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengakui sukar untuk menunaikan permintaan pengendali Harimau Malaya. Kim Pan-gon untuk mempercepatkan saingan Liga Malaysia (Liga M) untuk musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam memaklumkan perjalanan liga akan 'huru-hara' jika perkara itu dilakukan walaupun demi persediaan untuk mengharungi dua aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 berdepan Oman, hujung bulan lalu.

Katanya, badan pengendali liga itu sememangnya sentiasa memberi keutamaan demi kepentingan skuad Harimau Malaya, namun permintaan untuk melangsungkan Liga M lebih cepat berbanding tarikh asal pada Mei sememangnya tidak dapat dilaksanakan.

"Saya rasa perkara itu (permintaan Pan-gon untuk mempercepat Liga M) sudah dijawab oleh Presiden FAM (Datuk Hamidin Mohd Amin) dan semua tahu, kita umumkan tarikh ini pada bulan Jun tahun lalu.

"Impak kepada hanya memulakan liga untuk 25 pemain kebangsaan adalah pergerakan beratus pemain dan kos kepada pasukan.

"Pasukan pun sudah ada rungutan kerana tarikh Liga M yang sedikit lewat disebabkan kalendar agak panjang.

"Kita bukan baru putuskan untuk pergerakan unit ini pada hujung musim lalu dan kita teruskan pergerakan ini disebabkan kalendar Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang berubah.

"Saya rasa Presiden FAM sudah menjawab mengenai perkara ini, jadi saya tidak perlu ulas dengan lebih lanjut," katanya.

Terdahulu, media melaporkan mengenai permintaan Pan-gon supaya saingan Liga M diawalkan berbanding Mei, Hamidin menjelaskan harapan itu tidak dapat ditunaikan kerana tindakan terbabit mampu merencatkan segala persediaan dilakukan MFL.

Berdasarkan Peraturan Status dan Perpindahan Pemain FIFA; Lampiran 1: Bahagian Pelepasan Pemain Kepada Pasukan Kebangsaan Perkara 6 antaranya menyatakan adalah tidak wajib untuk melepaskan pemain di luar kalendar perlawanan antarabangsa.

Menjelang pertemuan dengan Oman pada bulan lalu, sebahagian daripada keseluruhan 33 pemain negara melapor diri ke kem latihan pusat skuad kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya yang bermula 8 Mac iaitu lewat kira-kira seminggu disebabkan komitmen bersama kelab masing-masing.

Ketiadaan aksi kompetitif menyaksikan anak buah Pan-gon tidak memiliki 'match fitness' pada tahap terbaik sekali gus menjadi antara punca skuad negara tumbang 0-2 masing-masing di Muscat dan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2024 @ 5:53 PM