TONEY dibenarkan beraksi semula selepas 16 Januari ini apabila bebas daripada penggantungan selama lapan bulan. FOTO AFP
TONEY dibenarkan beraksi semula selepas 16 Januari ini apabila bebas daripada penggantungan selama lapan bulan. FOTO AFP
Reuters

London: Penyerang Brentford, Ivan Toney berkata, dia akan membalas jasa kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu dengan menjaringkan gol apabila kembali beraksi selepas penggantungan lapan bulan berikutan 232 dakwaan berkaitan judi.

Pemain antarabangsa England berusia 27 tahun itu adalah penjaring terbanyak kelab itu musim lalu dan dibenarkan bermain semula selepas 16 Januari dan mula berlatih sejak September lalu.

Brentford kini di tangga ke-16 liga, empat mata di atas zon penyingkiran dan memerlukan khidmat Toney yang dikaitkan dengan Arsenal pada jendela perpindahan pemain bulan ini.

"Semua orang tahu Brentford adalah kelab keluarga, mereka membuatkan saya kagum," kata Toney dalam temu bual bersama televisyen Sky Sports dan Daily Mirror.

"Saya tidak mampu berterima kasih kepada mereka terutama penyokong. Mereka sentiasa berada di belakang saya sejak minit pertama. Jadi, banyak saya perlu balas jasa mereka.

"Kelab bergelut ketika ini, tetapi saya yakin akan memainkan peranan penting apabila kembali beraksi, sekali gus mengeluarkan mereka daripada kekalahan yang dialami ketika ini. Saya tidak sabar kembali membantu rakan sepasukan."

Peluang pertama Toney adalah berdepan Nottingham Forest pada 20 Januari dan dia meledak hatrik serta satu bantuan jaringan ketika skuad kedua Brentford menang 5-1 pada aksi persahabatan tertutup dengan skuad bawah 23 tahun (B-23) Southampton, hujung minggu lalu.

Brentford berdepan masalah kecederaan dan ketiadaan pemain apabila penjaring terbanyak musim ini, Bryan Mbeumo cedera buku lali manakala Yoane Wissa terbabit dengan kempen Piala Negara-Negara Afrika.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2024 @ 10:11 PM