REAKSI Lampard (kanan) pada perlawanan hari ini. FOTO Reuters
REAKSI Lampard (kanan) pada perlawanan hari ini. FOTO Reuters
AFP

Liverpool: Frank Lampard berkata beliau tidak akan melupakan sambutan yang diterima daripada penyokong Everton selepas menewaskan Brentford 4-1, hari ini untuk melangkah ke pusingan kelima Piala FA.

Suasana di Goodison Park berbeza berbanding sebelum ini apabila bekas pemain tengah England itu disambut dengan baik bersama-sama dengan pemain yang baharu menyertai kelab itu, Dele Alli dan Donny van de Beek.

"Saya hanya mahu berterima kasih kepada penyokong atas sokongan mereka kepada saya sebaik memasuki stadium, sepanjang perlawanan dan sehingga ke penghujung apabila menyaksikan prestasi cemerlang pasukan mereka.

"Hari ini sangat istimewa. Ia adalah hari yang tidak akan saya lupakan. Ia baru permulaan tetapi saya agak beremosi ketika ini," kata Lampard.

Yerry Mina dan Mason Holgate menjaringkan gol menerusi set piece manakala Richarlison dan Andros Townsend turut meledak gol.

Bintang baharu Brentford, Christian Eriksen tidak disenaraikan dalam skuad bimbingan Thomas Frank meskipun sudah bersedia untuk kembali beraksi susulan mengalami serangan jantung pada Euro 2020.

Brentford hanya bertindak balas menerusi jaringan sepakan penalti yang disempurnakan Ivan Toney pada separuh masa kedua untuk mengurangkan defisit 1-2 ketika itu.

Brentford kini perlu menumpukan kepada kempen Liga Perdana dalam usaha mereka untuk kekal pada musim pertama di liga utama itu selepas 74 tahun.

Lampard menerima sambutan meriah sebelum sepak mula berbanding pengendali sebelum itu, Rafael Benitez yang mempunyai pengalaman membimbing seteru utama kelab berkenaan, Liverpool selama enam tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Februari 2022 @ 8:03 AM