ERIKSEN (kiri) menjaringkan gol menewaskan Mendy. FOTO AFP
ERIKSEN (kiri) menjaringkan gol menewaskan Mendy. FOTO AFP
AFP

London: Pengurus Brentford, Thomas Frank memuji impak yang dipamerkan Christian Eriksen sejak kembali ke Liga Perdana selepas bintang Denmark itu menjaringkan gol ketika melakar kemenangan luar biasa 4-1 ke atas Chelsea, awal pagi tadi.

Juara Eropah itu mendahului pada awal separuh masa kedua di Stamford Bridge menerusi rembatan jarak jauh Antonio Rudiger, tetapi mereka akhirnya tewas buat kali pertama sejak pemilik kelab, Roman Abramovich dikenakan sekatan oleh kerajaan UK.

Vitaly Janelt menyamakan kedudukan hanya seminit kemudian untuk mencetuskan tiga gol lagi bagi membolehkan pelawat mencipta kemenangan pertama ke atas The Blues sejak 1939.

Eriksen berada dalam prestasi terbaik sejak kembali ke kancah bola sepak kompetitif selepas mengalami serangan jantung di atas padang semasa Euro 2020.

Bekas pemain tengah Tottenham itu menjaringkan dua gol untuk Denmark ketika kembali menyarung jersi skuad kebangsaan dan meneruskan rentak cemerlang dengan menjaringkan gol menewaskan Edouard Mendy untuk melengkapkan kebangkitan Brentford.

Brentford kini memenangi kesemua tiga perlawanan Liga Perdana di mana Eriksen membarisi kesebelasan utama selepas gagal melakar kemenangan sepanjang lapan perlawanan sebelum itu.

"Setiap pasukan mempunyai 11 pemain tetapi kadangkala anda memerlukan pemain utama untuk beraksi dengan baik serta mempunyai personaliti tersendiri dan itu dilakukan oleh Christian.

"Dia pemain yang sangat bagus dan saya gembira dia bermain bersama kami," kata Frank.

Janelt menjadikan kedudukan 3-1 dengan menewaskan Mendy pada minit ke-60 sebelum Yoane Wissa melengkapkan kemenangan bergaya Brentford dengan menyumbat gol keempat minit ke-87.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 April 2022 @ 7:36 AM