PEMAIN Brighton, Kaoru Mitoma (kiri) bersaing dengan pertahanan Palace, Nathaniel Clyne. FOTO AP
PEMAIN Brighton, Kaoru Mitoma (kiri) bersaing dengan pertahanan Palace, Nathaniel Clyne. FOTO AP
AFP

London: Brighton memperkukuh usaha mereka untuk layak ke saingan Eropah dengan kemenangan 1-0 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Crystal Palace, manakala Brentford terus menekan Southampton dengan masalah penyingkiran.

Pasukan bimbingan Roberto De Zerbi meraih kemenangan pertama dalam lapan pertemuan liga dengan seteru mereka itu dan perlu berterima kasih kepada gol tunggal Solly March di Stadium Amex.

Brighton yang menduduki tangga ketujuh berkongsi mata dengan pasukan keenam, Liverpool namun The Seagulls masih mempunyai baki satu perlawanan.

Seperti yang sedia ada, tempat keenam akan menjamin kelayakan ke Liga Konferensi Eropah musim depan, namun ia boleh jatuh kepada pasukan tempat ketujuh jika Manchester City atau Manchester United memenangi Piala FA.

Ia akan menjadi musim yang tidak dapat dilupakan bagi Brighton, yang menjadi tuan rumah pasukan divisyen keempat Grimsby dalam suku akhir Piala FA Ahad ini.

Sebaliknya, musuh lama mereka, Palace menyaksikan rentak tanpa kemenangan kepada 12 perlawanan dalam semua pertandingan sambil menunggu kemenangan pertama pada 2023.

"Perkara yang paling penting ialah peminat memahami gaya permainan kami dan di England ini adalah cabaran yang hebat," kata De Zerbi.

"Pemain percaya dengan gaya kami. Kami tidak bermain permainan terbaik kami tetapi jika anda menang ia lebih baik."

Brentford mencatat kemenangan 2-0 ke atas Southampton hasil jaringan Ivan Toney dan Yoane Wissa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2023 @ 10:16 AM