TONEY yang muncul penjaring terbanyak Brentford dengan 20 gol liga musim lalu kini bebas daripada penggantungan lapan bulan kerana berjudi. FOTO REUTERS
TONEY yang muncul penjaring terbanyak Brentford dengan 20 gol liga musim lalu kini bebas daripada penggantungan lapan bulan kerana berjudi. FOTO REUTERS
Reuters

London: Ivan Toney menetapkan sasaran untuk diri sendiri secara literal untuk baki musim ini dan tumpuan terarah kepada penyerang Brentford itu apabila kembali beraksi di Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Sabtu, selepas bebas daripada penggantungan lapan bulan kerana dakwaan berjudi.

Penjaring terbanyak kelab di barat London pada musim 2022-23 itu boleh beraksi apabila mereka melayan Nottingham Forest pada awal pagi Ahad.

Harapan besar diletakkan di bahu penyerang England berusia 27 tahun itu untuk membantu Brentford mengelak daripada zon penyingkiran selepas kalah lima kali berturut-turut iaitu tujuh daripada lapan aksi terakhir EPL.

Walaupun dikaitkan dengan beberapa kelab besar seperti Arsenal dan Chelsea pada jendela perpindahan pemain bulan ini, kelibatnya tetap menjadi harapan besar.

Buat masa ini, Brentford yang kehilangan beberapa pemain kerana cedera dan tugasan antarabangsa mengharapkan jaringan Toney yang akan beraksi buat kali pertama dalam liga sejak Mei 2023.

Selepas menjaringkan 20 gol daripada 30 aksi EPL musim lalu, Toney meledak hatrik bersama skuad Brentford B pada perlawanan persahabatan awal bulan ini dan dijangka berada dalam kesebelasan utama.

Menurutnya, dia sudah ada sasaran dalam fikirannya, tetapi belum sedia berkongsi sehinggalah mampu melaksanakannya.

"Ia mampu dicapai dan diharap dapat membantu saya beraksi di peringkat Eropah pada musim panas ini," katanya menerusi laman web kelab dan mengakui jaringan gol adalah cara berterima kasih kepada sokongan berterusan peminat kelab itu.

"Tiada perasaan lebih baik berbanding menjaringkan gol, tidak kisahlah menentang siapa. Saya tidak sabar untuk berdepan pasukan lebih besar, menjaringkan gol dan membantu pasukan berada di tempat sepatutnya."

Brentford kini menduduki tangga ke-16 liga dengan tiga mata di atas zon penyingkiran, tetapi kekurangan dua perlawanan berbanding pasukan di tangga ke-17, Everton dan pasukan di tangga ke-19, Burnley.

Forest yang dikendalikan Nuno Espirito Santo sejak sebelum Krismas, kini di tangga ke-15, tetapi berdepan risiko ditolak 10 mata selepas didakwa oleh EPL kerana melanggar peraturan kewangan.

Arsenal pula melayan kunjungan Crystal Palace, esok dan di tangga keempat liga serta ketinggalan lima mata berbanding pendahulu, Liverpool selepas mengalami dua kekalahan dan sekali seri pada aksi terakhir.

Anak buah Mikel Arteta tewas tiga aksi terakhir dalam semua kejohanan, tetapi tidak kalah empat kali berturut-turut sejak Mac 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2024 @ 10:50 AM