KIM Swee
KIM Swee
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Pengendali Sabah FC Datuk Ong Kim Swee tidak dapat menyembunyikan rasa 'tidak puas hati 'bengang' terhadap persembahan anak buahnya selepas tewas 1-3 di tangan PSM Makassar dalam saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Likas, malam tadi.

Katanya, kelekaan pemain Sang Badak pada separuh masa pertama menyebabkan mereka dihukum dengan dua gol tanpa balas oleh pasukan dari Indonesia itu.

Beliau berkata, walaupun cuba bangkit untuk mendapatkan gol pada awal babak kedua, mereka hanya berjaya mendapat satu gol pada minit ke-72, sebelum PSM Makassar diberikan sepakan penalti pada masa tambahan babak kedua.

"Sudah tentu ia satu perkara yang tidak memuaskan bagi saya terutama pada separuh masa pertama di mana kita leka dan apabila kita leka kita dihukum.

"Pada separuh masa kedua, kita cuba untuk mendapatkan gol awal tetapi tidak berjaya juga dan hanya dapat pada minit ke-72.

"Kemudian kita cuba mendapatkan gol penyamaan dan di situ berlakunya lagi serangan balas di mana mereka (PSM Makassar) mendapat sepakan penalti," katanya.

Dalam aksi malam tadi, PSM Makassar mencipta gol pertama menerusi jaringan pemain tengahnya Yakob Sayuri disusuli jaringan kedua hasil berpunca daripada pemain pertahanan Sabah Dominic Tan.

Gol tunggal Sabah pula terhasil menerusi tandukan Telmo Castanheira, menjadikan kedudukan gol berubah kepada 2-1 pada minit ke-72.

Namun, PSM Makassar berjaya melebarkan kemenangan kepada 3-1 apabila pasukan pelawat itu dihadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan penyerangnya, Everton Nascimento pada minit ke-93 selepas pemain Sabah, Rizal Ghazali dipersalahkan kerana menjatuhkan pemain lawan di kotak penalti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2023 @ 12:09 PM