KAPTEN KL City FC, Paulo Josue (kanan) berebut bola dengan pemain Vittel FC. FOTO FB KL CITY FC
KAPTEN KL City FC, Paulo Josue (kanan) berebut bola dengan pemain Vittel FC. FOTO FB KL CITY FC
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kuala Lumpur (KL) City FC layak ke final Piala AFC 2022 Zon Asean apabila menumbangkan kelab Vietnam, Viettel FC menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi separuh akhir di Stadium Thong Nhat, malam ini.

Penjaga gol KL City FC, Azri Ghani muncul wira apabila menyelamatkan sepakan penalti untuk kedudukan 6-5 selepas aksi 120 minit membabitkan kedua-dua pasukan berakhir tanpa jaringan.

Walaupun pada babak pertama perlawanan agak seimbang, namun tiada cubaan merbahaya dapat dicipta untuk memastikan bola menerjah gol.

Babak kedua bersambung menyaksikan tuan rumah lebih ghairah mengatur serangan ke kubu lawan bagi mencari gol pembukaan.

Namun nasib tidak menyebelahi skuad kendalian Bae Ji-won apabila setiap serangan gagal diterjemah kepada gol, sekali gus memberi kelegaan kepada pasukan pelawat.

Malah, 30 minit masa tambahan turut gagal dimanfaatkan kedua-dua pasukan sekali gus mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti.

Pertahanan KL City FC, Irfan Zakaria jelas mencemaskan pasukan apabila sepakan penaltinya melambung tinggi.

Namun, kesilapan pemain tuan rumah yang turut gagal menyempurnakan sepakan penalti memberi harapan kepada KL City memburu slot akhir sebelum Azri muncul wira menyelamatkan bola pada sepakan terakhir.

Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Bojan Hodak bakal bertemu PSM Makassar pada aksi final selepas pasukan itu mengalahkan Kedah Darul Aman (KDA) FC, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2022 @ 10:26 PM