AKSI perlawanan di antara Sabah FC dan Terengganu FC dalam saingan Liga Super 2023 di Stadium Likas. -FOTO Mohd Adam Arinin
AKSI perlawanan di antara Sabah FC dan Terengganu FC dalam saingan Liga Super 2023 di Stadium Likas. -FOTO Mohd Adam Arinin
Oleh Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mengakui kelalaian dan kelemahan anak buahnya sebagai punca kegagalan skuad Sang Badak mempertahankan kemenangan di halaman sendiri ketika berdepan Terengganu FC di Stadium Likas, malam tadi.

Beliau berkata, Sabah FC perlu menyalahkan diri sendiri selepas diikat dengan keputusan 2-2, terutama membiarkan pasukan pelawat berada di kawasan sendiri terlalu lama dan mengawal permainan.

Katanya, beliau sudah mengingatkan awal-awal lagi mengenai bahaya kebangkitan Terengganu selepas pasukan pelawat itu tewas dalam dua perlawanan sebelum ini.

"Kita mempunyai peluang yang kita cipta namun ketika kita mendahului 2-1 pada separuh masa kedua kita tidak dapat menambahkan jaringan, jadi ini meletakkan tekanan kepada kita.

"Seperti saya katakan awal-awal, Terengganu tewas dua perlawanan sebelum ini, sudah tentu mereka tidak ingin pulang tanpa sebarang mata, jadi mereka berusaha.

"Maka, kita harus mempersalahkan diri kita sendiri kerana membenarkan Terengganu berada di depan atau di kawasan kita terlampau lama dan mengawal permainan dengan begitu baik," katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.

Dalam aksi malam tadi, Sabah pada mulanya mendahului jaringan dengan 2-0 selepas berjaya meledakkan gol pada minit ke-27 melalui tandukan pemain importnya, Telmo Castanheira, disusuli gol sepakan penalti Darren Lok pada minit ke-36.

Bagaimanapun, Terengganu berjaya merapatkan kedudukan melalui sepakan percuma Sony Norde pada masa tambahan separuh masa pertama dan seterusnya gol penyamaan 2-2 juga melalui sepakan percuma Norde, tiga minit sebelum masa tambahan babak kedua tamat.

Kim Swee berkata, anak buahnya tidak menunjukkan rentak permainan seperti yang biasa dilakukan, sebaliknya Terengganu bermain dengan lebih baik terutama dari segi mengawal permainan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2023 @ 1:22 PM