DARREN Lok menjaringkan gol kedua Sabah FC menerusi sepakan penalti. FOTO ARKIB NSTP
DARREN Lok menjaringkan gol kedua Sabah FC menerusi sepakan penalti. FOTO ARKIB NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Sabah FC mengesahkan slot ke separuh akhir Zon Asean selepas menang selesa 4-1 ke atas kelab Singapura, Hougang United dalam saingan Piala AFC di Stadium Jalan Besar, di Singapura, malam tadi.

Kemenangan bergaya itu menyaksikan The Rhinos muncul juara Kumpulan H dengan 12 mata biarpun masih memiliki baki satu lagi aksi menentang PSM Makassar di Stadium Likas pada bulan depan.

Perancangan jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee yang membariskan skuad terkuatnya nyata membuahkan hasil apabila Hougang United dilihat gagal memberi tentangan sepanjang aksi itu.

Pelawat terus menekan bagi memburu gol awal dan hasilnya pemain tuan rumah, Nauki Kuriyama tortolak bola ke gawang sendiri selepas cuba menghalang hantaran lintang Daniel Ting di minit ke-16.

Sebaik jaringan itu terhasil, perlawanan terpaksa dihentikan seketika ekoran hujan lebat, ia tidak mengganggu rentak Sabah FC apabila meraih gol kedua hasil sepakan penalti Darren Lok seminit sebelum babak pertama berakhir.

Pelawat terus mencengkam perlawanan apabila giliran penyerang prolifik dari Brazil, Ramon Machado melepaskan satu rembatan padu dalam kotak penalti untuk menjaringkan gol ketiga pada minit ke-50.

Beberapa percubaan hampir menambah gol, namun tiang dan palang menjadi penghalang sebelum seorang lagi pertahanan tuan rumah, Anders Aplin tertampan ke gawang sendiri di minit ke-77.

Hougang United akhirnya mendapatkan gol sagu hati menerusi jaringan Gabriel Quek di hujung permainan.

Selain Sabah FC yang sudah mengesahkan slot ke separuh akhir, satu lagi kelab dari Australia iaitu Macarthur FC turut sudah melayakkan diri.

Kini hanya tinggal dua lagi slot membabitkan Terengganu FC, Central Coast Mariners dan Phnom Penh Crown yang akan ditentukan pada aksi terakhir kumpulan, bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2023 @ 10:48 PM