Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Perubahan rentak permainan akibat kecederaan dan kekasaran dialami pemain Sabah FC selepas berjaya menjaringkan gol pendahuluan, punca kekalahan 1-5 skuad Sang Badak di tangan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Likas, malam tadi.

Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berkata, beberapa insiden yang berlaku selepas gol pendahuluan Sabah pada minit ke-12 menyebabkan pergerakan anak buahnya berubah sebelum diambil peluang pasukan lawan untuk mencipta jaringan demi jaringan.

Katanya, beliau juga akur bahawa JDT mempunyai pemain yang berkualiti, selain kegagalan pemain Sabah FC sendiri mengawal permainan terutama pada separuh masa kedua membuka ruang kepada Harimau Selatan untuk mendapat banyak peluang.

"Kita tewas sejurus selepas kita menjaringkan gol di mana selepas itu beberapa insiden berlaku kecederaan dan 'movement of game' bertukar. Banyak kecederaan serta kekasaran dan ini mengubah rentak permainan.

"Kita juga perlu akur di sini di mana pasukan JDT mempunyai pemain yang berkualiti. Kita gagal mengawal permainan pada separuh masa kedua terutama apabila kita cuba untuk mendapatkan gol penyamaan tetapi mereka mendapat peluang yang lebih banyak daripada apa yang kita inginkan," katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.

REAKSI Kim Swee pada perlawanan malam tadi. FOTO MOHD ADAM ARININ
REAKSI Kim Swee pada perlawanan malam tadi. FOTO MOHD ADAM ARININ

Aksi Liga Super di Stadium Likas malam tadi menyaksikan Sabah FC mendahului gol pada minit ke-12 hasil jaringan Jafri Firdaus Chew, sebelum dibalas jaringan bertalu-talu daripada pemain JDT hingga berkesudahan 5-1 pada akhir permainan.

Bagi pasukan Harimau Selatan, pengendalinya, Solari Esteban, beliau bangga dengan keupayaan anak buahnya mengekalkan kejayaan pasukan walaupun bermain di Stadium Likas yang disifatkannya sebagai tempat yang sukar.

"Saya bangga dengan semua pemain dan saya juga sangat gembira pemain dapat mencapai keputusan yang diharapkan," katanya.

Penyerang JDT, Bergson Da Silva melakar hatrik apabila menjaring tiga gol malam tadi, bermula dengan gol sepakan penalti pada minit ke-23, disusuli jaringan melalui rembatan kencang beliau pada minit ke-61 dan ke-72.

Dua lagi gol JDT disudahkan Juan Muniz pada minit ke-16 dan Herberty Fernandez pada minit ke-47.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2023 @ 10:54 AM