POGBA kerap alami kecederaan di Juventus.
POGBA kerap alami kecederaan di Juventus.
Agensi

London: Paul Pogba ditawarkan kontrak mewah di Liga Pro Saudi yang boleh menyelamatkan Juventus daripada terus kerugian jika dia bersetuju dengan perpindahan itu.

Pogba, 30, meninggalkan Manchester United pada musim panas lalu dan kembali ke Juventus dengan yuran percuma, enam tahun selepas kali pertama meninggalkan kelab Turin itu untuk menyertai kelab Liga Perdana.

Namun perpindahan semula ke Itali tidak seperti dirancang apabila musim pertamanya di Serie A dihantui berberapa siri kecederaan yang menghadkannya dalam 10 penampilan sahaja.

Pogba menjalani pembedahan 'meniscus' pada September sekali gus terlepas kebanyakan saingan kempen musim lalu termasuk Piala Dunia di Qatar.

Dia kembali beraksi pada Mac tetapi sekali lagi mengalami kecederaan otot ketika sesi latihan yang memaksanya berehat beberapa minggu.

Selepas pulih, Pogba berdepan pula kecederaan betis ketika tampil kali pertama dalam kesebelasan Juventus dan masalah bertambah rumit apabila dia menjadi mangsa peras ugut membabitkan abangnya sendiri.

Juventus kini terdesak untuk melepaskan pemain antarabangsa Perancis itu dan peluang terbaik diperolehi selepas menerima tawaran besar daripada Arab Saudi.

La Gazzetta dello Sport mendakwa Pogba ditawarkan kontrak mega £85 juta (RM512.26 juta) selama tiga tahun berserta tambahan lain oleh kelab Liga Pro Saudi Al Ahli yang baru-baru ini menandatangani bekas penyerang Liverpool Roberto Firmino.

Ketika tawaran rasmi belum dikemukakan, ejen Pogba Rafaella Pimenta sudah pun membayangkan perkara tersebut.

Pogba pula dikatakan belum benar-benar yakin dengan tawaran itu dan akan menunggu saat akhir sebelum membuat sebarang keputusan.

Bagaimananpun, Juventus berharap dapat menjual Pogba dengan Daily Mail mendakwa mereka boleh menjimatkan £26.9 juta (RM162 juta) bil gaji jika dapat melepaskan pemain itu yang kini masih berbaki tiga tahun kontrak di Turin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Julai 2023 @ 9:21 AM