POGBA (kanan) ketika beraksi di Liga Negara-Negara menentang Belgium. -FOTO AFP
POGBA (kanan) ketika beraksi di Liga Negara-Negara menentang Belgium. -FOTO AFP
Agensi

London: Paul Pogba mengakui dia masih lagi berhubung dengan beberapa bekas rakan pasukannya di Juventus dan 'menyukai Turin' selepas ditanya mengenai masa depannya di Manchester United dan kemungkinan kembali bersama kelab Itali itu.

Pemain yang membantu Perancis menjulang Piala Dunia itu menghabiskan empat musim di Juventus - menjaringkan 34 gol dan membantu kelab Serie A itu merangkul empat kejuaraan dan dua piala Coppa Italia selepas meninggalkan Old Trafford pada 2012.

Pogba kembali ke United lima tahun kemudian dengan rekod perpindahan £89 juta (RM506.5 juta) dan membuat 200 penampilan bersama Red Devils, merangkul Liga Europa dan Piala EFP di bawah pengurusan Jose Mourinho.

Walaupun dia seorang yang berpengaruh di Old Trafford, pemain berusia 28 tahun itu berulang kali dikaitkan untuk meninggalkan Manchester United dengan ejennya Mino Raiola menyarankan untuk dia kembali ke Juventus.

Pogba kembali ke Turin pada semalam untuk beraksi bersama skuad Perancis di separuh akhir Liga Negara-Negara menentang Belgium dan membantu skuad Didier Deschamps bangkit daripada ketinggalan 2-0 seterusnya menang 3-2.

Pemain tengah Manchester United ditanya mengenai kaitan ke Juventus selepas membawa Perancis ke final Liga Negara-Negara berkata: "Saya suka Torino (ketawa).

"Saya selalu bercakap dengan bekas rakan pasukan Juve seperti (Paulo) Dybala. Saya di Manchester sekarang, saya masih ada kontrak sehingga Jun.

"Selepas itu kita lihat bagaimana. Saya mahu melengkapkan musim saya pada tahap terbaik, kemudian kita lihat bagaimana."

Belgium menguasai separuh masa pertama dalam aksi separuh akhir Liga Negara-Negara menentang Perancis menerusi dua gol hasil Yannick Carrasco dan Romelu Lukaku.

Namun Perancis bangkit menerusi jaringan Karim Benzema, Kylian Mbappe dan Theo Hernandez.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Oktober 2021 @ 11:07 AM