POGBA. -FOTO Reuters
POGBA. -FOTO Reuters
Agensi

London: Paul Pogba dilaporkan bersedia untuk menamatkan baki kontraknya di Manchester United dan memulakan musim panas sebagai ejen bebas.

Menurut laporan The Telegraph, Pogba bersedia untuk memilih kelab seterusnya selepas tempohnya di United berakhir.

Pogba juga dikatakan bersedia untuk menyertai pasukan lawan dalam Liga Perdana sekiranya tawaran yang diterima itu berbaloi.

Gergasi Perancis, PSG turut dikaitkan dengan perpindahan Pogba ke negara asalnya dan mereka kini boleh mengadakan perbincangan kerana sudah berada di penghujung kontrak.

Juventus dan Real Madrid juga antara dua pasukan yang dikaitkan dengan pemain tengah yang meraih Piala Dunia itu sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Pengendali Manchester City, Pep Guardiola mendakwa pada 2018 beliau turut ditawarkan peluang mengikat Pogba pada jendela perpindahan Januari.

Pogba baru-baru ini kembali cergas untuk bersama United selepas mengalami kecederaan tahun lalu ketika menjalankan tugas antarabangsa bersama Perancis.

Dia melakukan 23 penampilan dalam semua kejohanan bersama United setakat ini dan menjaringkan satu gol.

Semalam, Pogba mendedahkan bahawa rumahnya di Manchester dimasuki perompak ketika dia beraksi bersama pasukan dan mengalami kekalahan dalam saingan Liga Juara-Juara kepada Atletico Madrid.

Anak-anak ketika itu berada di dalam rumah sewaktu kejadian berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mac 2022 @ 11:21 AM