FERNANDES (kanan) meraikan jaringan bersama Pogba ketika menentang Tottenham pada 19 Jun lalu. FOTO Agensi
FERNANDES (kanan) meraikan jaringan bersama Pogba ketika menentang Tottenham pada 19 Jun lalu. FOTO Agensi
Agensi

PENGENDALI Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer membuat keputusan untuk tidak menjual Paul Pogba susulan keserasiannya dengan Bruno Fernandes, menurut laporan di Perancis.

Pogba dan Fernandes kini dalam peringkat awal gandingan mereka di bahagian tengah dengan pemain Perancis itu diarah beraksi lebih dalam berbanding rakan sepasukan dari Portugal. Solskjaer berkata, gandingan itu akan bertukar peranan secara giliran dan L'Equipe mendakwa Solskjaer tertarik dengan kemampuan Pogba sejak kembali beraksi.

Sebelum ini, sudah diketahui umum hasrat Pogba untuk meninggalkan United tahun lalu dan banyak kelab menunggunya termasuk Real Madrid dan Juventus.

Tetapi sejak pulih daripada kecederaan berpanjangan, Pogba semakin bersemangat tinggi dan ceria di United.

Pogba beraksi dengan baik dan Solskjaer kini menyedari betapa bagusnya hubungan teknikal pemain itu dengan Fernandes.

Kehadiran bekas bintang Sporting Lisbon itu di Old Trafford memberi keuntungan kepada kelab dan Solskjaer kini berharap dapat mengekalkan Pogba.

Hanya satu senario yang boleh membuatkan Solskjaer bertukar fikiran menjual Pogba iaitu jika ada kelab menawarkan pemain yang sekian lama diidamkan United.

Pada awal musim ini, United bersedia melepaskan Pogba jika ada kelab bersetuju dengan tanda harga ditetapkan. Sama ada Real atau Juventus tidak sanggup mengeluarkan £150 juta (RM796 juta) untuk mendapatkan bintang yang cedera itu selain bergelut dengan konsistensi sejak kembali ke United pada 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2020 @ 11:28 PM