DION Cools. FOTO Aizuddin Saad
DION Cools. FOTO Aizuddin Saad
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon percaya sikap kepimpinan tinggi yang ada pada tonggak kacukan negara, Dion Cools mampu memimpin pasukan bagi mengharungi beberapa aksi antarabangsa sepanjang musim ini.

Jelas Pan-gon, penghijrahan Cools ke Liga Thailand bersama Buriram United menyaksikan pemain berdarah Malaysia-Belgium itu tampil lebih berkeyakinan, di mana ketua pasukan Harimau Malaya itu sering menjadi pilihan mengetuai benteng pertahanan kelab terbabit.

Katanya, ketika lawatan ke Thailand pada bulan lalu, beliau melihat peningkatan mendadak dipamerkan Cools yang dianggap antara pemain berstatus bintang di Buriram United.

Malah, bekas pertahanan kelab gergasi Belgium, Club Brugge yang sarat dengan pengalaman beraksi di pentas tertinggi seperti Liga Juara-Juara Eropah dan Liga Europa itu dilihat amat gembira bermain di Liga Thailand.

Situasi itu sekali gus menanam keyakinan dan harapan Pan-gon untuk melihat Cools terus mengekalkan momentum sama apabila bermulanya latihan pusat skuad Harimau Malaya minggu depan.

"Dion (Cools) gembira apabila saya dapat bertemunya…dia menunjukkan aksi yang baik bersama dengan pasukan yang berada di tangga teratas liga.

"Mereka (Buriram United) ada ramai pemain yang bagus di mana pasukan dia mendominasi permainan dan suasana bola sepak yang baik serta stadium juga cantik.

"Saya lihat dia gembira di sana…sebagai pemain yang menjadi perhatian, dia sedar kehadiran ramai pemain bagus akan dapat wujudkan persaingan.

"Saya amat gembira melihat perkembangannya, dan selaku ketua pasukan (pasukan Malaysia) dia mempunyai sikap tangungjawab yang baik," kata jurulatih dari Korea Selatan itu.

Pasukan negara dijadual mengharungi dua aksi persahabatan antarabangsa pada jendela Fifa hujung bulan ini.

Skuad Harimau Malaya bakal menentang Turkmenistan dan Hong Kong di Stadium Sultan Ibrahim, dengan kem latihan akan dijalankan di pusat latihan Johor Darul Ta'zim (JDT).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mac 2023 @ 2:08 PM