MORALES pemain naturalisasi terbaharu negara.
MORALES pemain naturalisasi terbaharu negara.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Langkah pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon memanggil Romel Morales bakal membawa variasi kepada pasukan negara khususnya jentera serangan pasukan.

Menurut bekas pemain kebangsaan, Datuk Zainal Abidin Hassan, kehadiran Morales bakal 'membebaskan' rakan sepasukannya di Kuala Lumpur City (KL City) FC, Paulo Josue untuk kembali ke posisi asal selaku jentera tengah pasukan.

Berbanding sebelum ini yang menyaksikan Josue terpaksa mengisi slot penyerang, senarai pemain yang dipanggil Pan-gon kali ini menjanjikan kelainan khususnya di posisi penyerang.

"Satu kebaikan untuk perkuatkan Harimau Malaya memandangkan sebelum ini kita kekurangan penyerang dan hanya ada Darren Lok di posisi itu. Sebab itu bila tidak ada penyerang jurulatih terpaksa ubah (peranan) pemain lain.

"Apa yang saya kenal Romel, dia seorang pemain yang memiliki fizikal, sentiasa berlatih bersunguh-sungguh dan ada kemahuan. Dia berbeza dengan Darren yang mungkin sedikit ortodok tetapi Romel ada kemahiran kawalan bola yang baik," katanya.

Dalam senarai pemain kem latihan pusat Harimau Malaya yang dikeluarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), kelmarin, Morales menjadi pemain naturalisasi terbaharu negara apabila turut dipanggil oleh Pan-gon.

Selain itu, Pan-gon juga turut memanggil pemain warisan Johor Darul Ta'zim (JDT), Natxo Insa dan mengekalkan Afiq Fazail serta kembali menyenaraikan Syamer Kutty Abba dan Ahmad Khuzaimi Piee.

Dalam masa sama, Zainal juga mencabar pemain tempatan lain supaya kekal berdaya saing untuk merebut tempat dengan bintang warisan dan naturalisasi.

"Persoalannya adalah tentang pemain tempatan kita. Mereka juga perlu bekerja keras untuk mengisi kekosongan. Tetapi segalanya bergantung kepada jurulatih, bagaimana dia mahu susun pemain dan taktikal mengikut perlawanan yang dihadapi," katanya yang pernah melatih pasukan Pahang, Melaka United dalam Liga Malaysia sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2023 @ 8:10 PM