AVANZINI (empat dari kiri) menjaringkan gol tunggal bagi memastikan KL City FC menewaskan Perak FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, malam tadi. FOTO FB KUALA LUMPUR CITY
AVANZINI (empat dari kiri) menjaringkan gol tunggal bagi memastikan KL City FC menewaskan Perak FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, malam tadi. FOTO FB KUALA LUMPUR CITY
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengendali Kuala Lumpur City (KL City) FC, Bojan Hodak sudah mula tersenyum apabila pasukannya menemui sinar kemenangan selepas menumpaskan Perak FC 1-0, malam tadi.

Selepas buntu dalam lima aksi awal Liga Super, kemenangan ke atas 'The Bos Gaurus' membolehkan KL City FC merakam dua kemenangan berturut-turut selepas mengejutkan Sabah FC 2-0, minggu lalu.

Hodak berkata, walaupun tidak berpuas hati dengan kemenangan tipis itu, dia tetap gembira berjaya meraih tiga mata penting.

"Saya tidak gembira dengan persembahan pemain, namun enam mata dalam tempoh lima hari adalah sangat penting buat kami.

"Tetapi esok (hari ini) mungkin kami akan lupakan perlawanan ini dan fokus aksi seterusnya.

"Saya sudah katakan, berdepan Perak FC tidak mudah kerana pasukan ini dibarisi pemain muda yang boleh berlari dan bekerja keras. Sukar untuk mendapatkan gol.

"Ketika kami cuba mencari gol kedua, kami mendapat kad kuning kedua dan beraksi dengan 10 pemain, kami hanya bertahan dan menunggu untuk melakukan serangan balas," katanya.

Pada aksi terbabit, jaringan Sebastian Avanzini di hujung babak pertama sudah cukup membolehkan mereka mengutip mata penuh apatah lagi selepas beraksi dengan 10 pemain sejak minit ke-64 berikutan T Saravanan dilayangkan kad kuning kedua.

Mengulas lanjut pendekatan membawa masuk beberapa pemain menyerang sekalipun kehilangan seorang pemain, Hodak menjelaskan ia lebih kepada percaturan taktikal.

"Paulo Josue bermain empat perlawanan sejak aksi antarabangsa dan dia nampak penat. Jadi ketika itu, saya perlukan pemain yang pantas di bahagian sayap dan sebab itulah saya masukkan pemain menyerang.

"Inilah perbezaan berbanding musim lalu apabila musim ini kami ada ramai pemain yang boleh dimasukkan bagi membantu pasukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 April 2023 @ 6:53 PM