KAPTEN Selangor FC, Brendan Gan (tengah) diasak pemain Kuala Lumpur City FC, Jordan Mintah (kiri) pada perlawanan di Stadium MBPJ, malam tadi. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
KAPTEN Selangor FC, Brendan Gan (tengah) diasak pemain Kuala Lumpur City FC, Jordan Mintah (kiri) pada perlawanan di Stadium MBPJ, malam tadi. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengendali Selangor, Michael Feichtrnbeiner mengakui kad merah dilayangkan kepada pemain pertahanan, Ahmad Zikri Khalili merencatkan peluang pasukannya meraih tiga mata ketika bertemu Kuala Lumpur City FC, malam tadi.

Feichtenbeiner berkata, Selangor seharusnya membawa pulang tiga mata berdasarkan kepada persembahan barisan anak buahnya yang dilihat lebih mendominasi perlawanan, tetapi kad merah pada minit ke-56 itu mengubah segala-galanya.

"Kami turun untuk menang dan mendominasi dengan agak baik. Strategi kami adalah untuk mencari gol kedua dan membunuh mereka.

"Namun apabila kami kehilangan seorang pemain, perubahan perlu dilakukan. Kami bertahan dengan baik dan penjaga gol menyelamatkan beberapa percubaan.

"Apabila beraksi dengan 10 pemain, kami masih mencipta beberapa peluang, namun tidak dapat disudahkan," katanya.

Pada aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu, The Red Giants terlebih dahulu membuka jaringan menerusi percubaan Brendan Gan yang tertampan Irfan Zakaria pada minit ke-36.

Namun, apabila Selangor beraksi dengan 10 pemain pada hampir keseluruhan babak kedua, KL City FC mengikat kedudukan menerusi Romel Morales pada minit ke-68 selepas dia gagal menyempurnakan sepakan penalti tiga minit sebelum itu.

Sementara itu, jurulatih KL City FC, Bojan Hodak menyifatkan tuah tidak memihak kepada anak buahnya apabila sekadar mampu mengutip satu mata pada aksi 'Derby Lembah Klang' itu.

"Kadang kala kita bertuah, kadang kala tidak. Kami ada peluang pertama untuk menjaringkan gol, tetapi mereka berjaya mengeluarkannya di atas garisan gol.

"Kad merah mengubah perlawanan, tetapi kami perlu berhati-hati kerana mereka tetap berbahaya menerusi serangan balas pantas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Julai 2022 @ 2:54 PM