GALLIFUOCO (kanan) dilayangkan kad merah pada masa tambahan babak kedua selepas berlaku tarik menarik rambut dengan Okwuosa. FOTO FB MFL
GALLIFUOCO (kanan) dilayangkan kad merah pada masa tambahan babak kedua selepas berlaku tarik menarik rambut dengan Okwuosa. FOTO FB MFL
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengendali Kuala Lumpur City (KL City) FC, Bojan Hodak tidak berdiam diri apabila sekali lagi menghantar surat rasmi kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkaitan mutu pengadilan membabitkan pasukannya menentang PDRM FC, malam tadi.

Walaupun The City Boys menang 3-0, Hodak tetap mengambil tindakan itu supaya kejadian sama tidak lagi berulang hingga boleh mengganggu rentak perlawanan pasukannya.

Hodak berkata, pihaknya sudah melihat tayangan video membabitkan beberapa insiden termasuk layangan kad merah dan kad kuning, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap keputusan pengadil.

"Kami tetap akan menghantar laporan mengenai perkara itu (keputusan pengadil).

"Sudah pastinya cukup mengecewakan dan saya tidak tahu sudah berapa banyak surat dihantar kepada FAM berkaitan mutu pengadilan.

"Saya sudah melihat beberapa kali ulangan rakaman mengenai insiden terbabit. Walaupun tidak baik untuk mengeluh selepas mencatat kemenangan 3-0, saya perlu lakukannya.

"Ini sepatutnya menjadi permainan yang tenang. Mereka yakin selepas memenangi perlawanan keempat berturut-turut, namun tidak mahu dicemari dengan insiden terbabit," katanya.

Pada perlawanan malam tadi, KL City beraksi cemerlang untuk menang 3-0 yang juga kemenangan keempat berturut-turut.

Mereka mendahului pada minit ke-14 hasil jaringan Romel Morales sebelum kapten, Paulo Josue menambah gol kedua, lapan minit kemudian.

Tiga minit sebelum tamat permainan, Tchetche Kipre meledak gol ketiga KL City, sekali gus mengesahkan kemenangan bergaya naib juara Piala AFC musim lalu itu.

Namun, perlawanan dicemari beberapa insiden menyebabkan kedua-dua pasukan beraksi dengan 10 pemain selepas tonggak pertahanan KL City, Giancarlo Gallifuoco dan pemain import PDRM, James Okwuosa dilayangkan kad merah pada masa tambahan separuh masa kedua.

Malah, Hodak dilayangkan kad kuning pada minit ke-32 selepas dia dilihat bertengkar dengan pengadil berhubung rasa tidak puas hati apabila anak buahnya sebelum itu turut menerima nasib sama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 April 2023 @ 4:51 PM