HODAK tidak bimbang walaupun kehilangan lima mata selepas dua perlawanan awal Liga Super musim ini. FOTO ASYRAF HAMZAH
HODAK tidak bimbang walaupun kehilangan lima mata selepas dua perlawanan awal Liga Super musim ini. FOTO ASYRAF HAMZAH
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengendali Kuala Lumpur City (KL City) FC, Bojan Hodak tidak goyah dengan prestasi anak buahnya walaupun kehilangan lima mata selepas mengharungi dua perlawanan Liga Super.

Hodak berkata, masih terlalu awal untuk merumuskan prestasi keseluruhan pasukan dengan rata-rata anak buahnya masih mencari rentak terbaik dalam usaha meraih keputusan positif.

Menurutnya, perkara paling penting ketika ini adalah memperbaiki kelemahan dengan memastikan pemain tidak melakukan kesilapan hingga kehilangan mata pada perlawanan akan datang.

"Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan persembahan pemain, cuma kesilapan individu menyebabkan gawang KL City dibolosi.

"Saya tidak bimbang walaupun kehilangan lima mata selepas mengharungi dua perlawanan kerana mungkin kami akan memperolehnya pada pertemuan di tempat lain.

"Saya akui memang ada jurang dengan JDT (Johor Darul Ta'zim), cuma jika mahu merumuskan secara keseluruhan prestasi pasukan perlu menunggu 10 perlawanan lagi," katanya.

Pada perlawanan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, malam tadi, KL City tewas 0-3 kepada JDT dan mereka sebelum itu seri 2-2 dengan Penang FC, hujung minggu lalu.

Membariskan pasukan terkuat, skuad Harimau Selatan yang dipimpin Estaban Solari tidak berhadapan masalah menguasai perlawanan walaupun beraksi dalam keadaan hujan renyai dan padang basah.

Dua gol juara sembilan kali berturut-turut Liga Super itu disumbangkan menerusi jaringan sendiri Romel Morales dan pemain naturalisasi terbaharu Endrick Dos Santos.

Gol ketiga pula dijaringkan pemain sayap licik JDT, Arif Aiman Hanafi di hujung perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2023 @ 5:39 PM