Pemain KUFC, Devid De Santana Silva (tengah) diasak oleh KLCity  FC, pada perlawanan Piala  Super Malaysia 2023 di Stadium Muhammad IV. -FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Pemain KUFC, Devid De Santana Silva (tengah) diasak oleh KLCity FC, pada perlawanan Piala Super Malaysia 2023 di Stadium Muhammad IV. -FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Nor Amalina Alias

Kota Bharu: Meskipun tewas kali kesembilan dalam aksi Liga Super malam tadi, penolong jurulatih Kelantan United Football Club (KUFC), Nazrulerwan Makmor tidak menganggap pasukan memberi kemenangan mudah buat lawan.

Nazrulerwan berkata, pemainnya sentiasa memberi tentangan terbaik setiap kali turun padang dengan mentaliti ingin menang.

"Kita lihat dah banyak peningkatan ditunjukkan pemain, mereka dah berikan 100 peratus.

"Tapi semua orang tahu, perlawanan ke-11 ini, kita tak dapat tiga mata, tapi sekurang-kurangnya kita bukan pasukan belasahan, kita tunjuk prestasi baik," katanya ketika ditemui di sidang media, selepas perlawanan malam tadi di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

Nazrulerwan berkata, dalam aksi menentang Kuala Lumpur City FC malam tadi, anak buahnya baabyak bertahan dan menyerang namun tidak menjaringkan gol sekadar bertuah dengan penalti oleh Devid De Santana Silva minit ke 33.

Katanya, import pasukan juga perlu mempunyai target untuk membolos gawang lawan namun tidak menghasilkan gol.

"Namun kita tidak boleh bergantung pada bahagian serangan sahaja, semua pemain kena cuba jaringkan gol.

"Apapun, saya masih positif kami boleh menang perlawanan seterusnya kerana tiada istilah mengalah bagi kami," katanya.

Bagi pengendali KL City FC, Bojan Hodak, dia mengakui bukan mudah pasukannya menjinakkan kijang hijau.

"Kami datang untuk menang, tapi saya rasa mereka (KUFC) bermain dengan baik," katanya.

Bagaimanapun, Bojan sedikit tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan apabila lima kad kuning dikeluarkan pengadil kepada pemainnya pada separuh masa kedua.

Bojan berkata, pihaknya akan buat laporan rasmi kepada pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berhubung insiden itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mei 2023 @ 12:38 PM