BARISAN pemain KL City giat menjalani latihan menjelang pertemuan dengan Sri Pahang. FOTO FB KUALA LUMPUR CITY
BARISAN pemain KL City giat menjalani latihan menjelang pertemuan dengan Sri Pahang. FOTO FB KUALA LUMPUR CITY
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kuala Lumpur City FC (KL City) sedar halangan berliku bakal ditempuhi pada aksi kedua suku akhir Piala Malaysia menentang Sri Pahang FC di Stadium Darul Makmur, petang esok.

Jelas pengendali KL City, Nenad Bacina, kelebihan 1-0 yang dimiliki dalam tangan selepas menang pada suku akhir pertama di Cheras minggu lalu dilihat belum selamat.

Bagaimanapun, beliau yakin kelebihan itu akan dapat dipertahankan dan mengharapkan aksi menarik dapat disajikan.

"Perlawanan berikutnya (aksi kedua Piala Malaysia) dengan Sri Pahang di tempat mereka dah tentu lebih mencabar.

"Saya fikir pemain perlu yakin pada diri sendiri di mana mereka ada kualiti. Inilah yang kita mahu dan saya nak pemain dapat pamerkan aksi menarik," katanya yang menggantikan Bojan Hodak pada bulan lalu.

Dalam pada itu, Bacina akui beberapa pemain utama akan kembali memperkuatkan pasukan menjelang aksi timbal balik itu petang esok.

Antaranya tonggak pertahanan import, Giancarlo Gallifuoco yang disisihkan pada aksi pertama sebelum ini ekoran penggantungan kad kuning.

"Gallifuoco akan kembali, Sebastian Avanzini juga akan kembali. Malah saya akan memantau tahap kesediaan T Saravanan, begitu juga Haqimi Azim," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 September 2023 @ 7:19 PM