BOJAN Hodak. FOTO Nur Aisyah Mazalan
BOJAN Hodak. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pengendali Kuala Lumpur City FC (KL City), Bojan Hodak enggan menuding jari menyalahkan tonggak pertahanan, Irfan Zakaria sebagai punca kegagalan skuadnya merakam tiga mata apabila sekadar diikat Selangor FC dengan 3-3.

Dalam aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras itu, skuad Red Giants seharusnya 'berterima kasih' kepada Irfan apabila dua kali kesilapannya membolehkan pelawat meraih gol.

Kesilapan pertama apabila Irfan tertampan bola tandukan Hyuri Henrique pada minit ke-18 ke gawang sendiri bagi memberikan gol pertama buat Selangor sebelum sekali lagi secara tidak sengaja melakukan halangan menggunakan tangan dalam kotak penalti di babak kedua, sekaligus menghadiahkan sepakan penalti kepada Red Giants yang disempurnakan Herlison Caion.

Jelas Hodak, beliau berpuas hati dengan permainan Irfan, di mana dalam aksi itu buat pertama kalinya bekas pemain skuad bawah 23 (B-23) tahun negara itu beraksi di posisi pertahanan kiri ekoran tahap kecergasan Declan Lambert yang masih rendah.

"Declan yang bermain di Johor (menentang JDT dalam aksi Piala Sumbangsih minggu lepas) sudah lama tidak beraksi dalam aksi kompetitif, jadi kita perlu perlahan-lahan dedahkannya dengan perlawanan.

"Saya mengharapkan Irfan dan dia menjalankan tugas dengan baik walaupun sedikit kesilapan di dalam keadaan bola mati. Tapi saya fikir dia bermain baik dan dia pilihan yang kita ada," katanya.

Menurut jurulatih dari Croatia itu lagi, anak buahnya layak meraih satu mata selepas dua kali bangkit ketinggalan selain terpaksa beraksi 10 pemain pada minit ke-75 selepas Giancarlo Gallifuoco menerima kad merah selepas mengumpul dua kad kuning.

"Kami sentiasa mahukan kemenangan tetapi Selangor adalah satu pasukan terbaik dalam liga dan saya fikir satu mata di akhir permainan dengan kami beraksi kekurangan sorang pemain, saya fikir satu mata cukup adil buat kedua-dua pasukan," katanya.

Selain tiga gol oleh Selangor menerusi Hyuri (m-18) dan dua daripada Caion (m-27 dan 78), tiga gol tuan rumah pula disumbangkan Zhafri Yahya (m-19), Hadin Azman (m-32) dan Ryan Lambert (m-60).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mac 2022 @ 5:31 PM