STERLING tak sabar bantu Chelsea. FOTO Chelsea FC
STERLING tak sabar bantu Chelsea. FOTO Chelsea FC
AFP

London: Raheem Sterling muncul pemain pertama ditandatangani sejak konsortium Todd Boehly membeli kelab sekaligus mengakhiri karier tujuh tahun penuh gemilang di Manchester City.

Penyerang berusia 27 tahun itu mengikat kontrak lima tahun dengan yuran dilaporkan £50 juta (RM263.38 juta).

"Bintang England Raheem Sterling menyertai Chelsea dari Manchester City dengan kontrak lima tahun," kata Chelsea dalam kenyataan awal pagi tadi.

Sterling memberi bayangan awal perpindahannya semalam apabila mengucapkan selamat tinggal dalam media sosial dan berkata dia meninggalkan City sebagai 'seorang lelaki' selepas tiba dari Liverpool ketika berusia 20 tahun.

Namun sejurus perjanjian disahkan secara rasmi, Sterling yang turut bersama Chelsea dalam jelajah pramusim di Amerika Syarikat memberi tumpuan untuk menyinar di bawah Thomas Tuchel.

"Saya banyak mencapai kejayaan dalam karier setakat ini tetapi masih ada lagi yang perlu dicapai dan saya mahu melakukan bersama jersi Chelsea di bawah kendalian Thomas," kata Sterling.

"London adalah rumah saya dan tempat segalanya bermula. Saya sangat teruja berpeluang beraksi di hadapan rakan dan keluarga di Stamford Bridge."

Sterling yang beraksi 77 kali untuk England, menang empat gelaran Liga Perdana daripada sembilan trofi utama diraihnya sejak berpindah ke City dari Liverpool pada 2015.

Menjadi tonggak pada awal era Pep Guardiola di City, Sterling meledak 131 gol dalam 337 perlawanan untuk juara Inggeris itu.

Tetapi dia semakin kurang mendapat tempat selepas kehadiran Jack Grealish serta kecemerlangan pemain akademi City, Phil Foden.

Sterling dilaporkan akan turut disertai pertahanan Napoli, Kalidou Koulibaly untuk musim baharu ini.

The Telegraph melaporkan perjanjian £34 juta (RM179.21 juta) telah pun dipersetujui antara kedua-dua kelab untuk perpindahan pertahanan tengah berusia 31 tahun itu.

Chelsea perlu memperkuatkan kubu mereka selepas Antonio Rudiger dan Andreas Christensen berpindah ke Real Madrid dan Barcelona.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2022 @ 7:13 AM